Travel

Travel

Mengira detik

Tuesday, August 12, 2008

Malam Inspirasi Seni 2008


Salam:

Bertemu lagi, untuk entri ini aku ingin menceritakan pengalaman aku berada di Malam Inspirasi Seni 2008. Ini adalah komen rasmi aku, dan ia adalah pandangan peribadi. Terpulang kepada anda (terutama mereka yang terbabit) sama ada ingin menerima atau tidak. Tujuan komentar ini bukanlah mengaibkan sesiapa tetapi sekadar pendapat bagi membetulkan apa yang silap agar ia tidak berulang masa akan datang. Terima kasih

Pengenalan:

Malam Inspirasi Seni merupakan aktiviti tahunan kelab. Atas beberapa masalah yang berlaku pada tahun lepas, MIS ke-3 terpaksa dianjak pada tahun ini. Ia merupakan idea asal saya (selaku presiden kelab pertama). MIS pertama diadakan Kolej Matrikulasi Pahang pada Ogos 2005. Secara kasarnya MIS diadakan satu malam himpunan semua kumpulan dalam kelab kebudayaan dan Kesenian. MIS juga merupakan medan bagi bakal penggiat seni UMP menghasilkan idea kreatif dan dipersembahkan dalam satu bentuk persembahan artistik dan teratur.

Nama Inspirasi Seni merujuk bahawa mahasiswa UMP (ahli kelab) mampu menghasilkan idea seni yang kreatif tanpa bantuan dari mereka yang berlatarkan seni. MIS adalah platform bagi mereka mencurahkan idea mereka sama ada dari segi belakang tabir, teknikal, skrip, koreografi dan sebagainya.

Pada tahun 2006, MIS diadakan untuk kali kedua di Dewan Kuliah UMP. Format MIS masih sama iatu mengenakan tiket kepada semua penonton, dan diadakan dalam dewan tertutup serta sempurna. Pada tahun ini, MIS dijalankan lagi di Dewan Dato’ Bahaman, Kolej Matrikulasi Pahang pada 9 Ogos 2008.

Susun atur persembahan:


Majlis bermula pada jam 8.30 pm, tetapi saya agak lewat tiba di dewan iatu pada jam 9.00 malam iatu ketika persembahan Nasyid. Persembahan diselang-seli tanpa melibatkan pengacara. Jujur saya katakan semua persembahan agak membosankan (kecuali beberapa) dan penonton lebih banyak bercakap dari menonton. Persembahan nasyid hanya suam-suam kuku kerana suara MIC tidak kedengaran di samping masalah audio yang tidak menyeluruh di dalam dewan. Persembahan ini menyebabkan saya tidak melekat untuk menonton keseluruhan persembahan nasyid.



Ketiadaan pengacara mencacatkan lagi aturan majlis. Saya sebenarnya agak terkejut, kerana majlis tidak mempunyai pengacara. Sedangkan nadi kepada MIS adalah pengacara. Pengacara amat penting sebagai pengawal acara agar majlis berlangsung dengan sempurna dan terkawal. Selain itu, pengacara juga berfungsi menghidupkan majlis dengan unsur humor,gimik dan sebagainya.

Konsep persembahan yang ingin ditonjolkan pada malam itu ialah “arts flow” atau aturan seni yang lazimnya dibuat ketika menonton Bangsawan, Lagu Puisi, atau persembahan kebudayaan di Panggung Seni. Tetapi, kita harus maklum bahawa penonton UMP adalah “otak sains”. Mereka bukan “otak seni” yang bijak menilai sesuatu persembahan. Jadi persembahan kelab haruslah bertunjangkan kepada penonton iatu bijak menerapkan unsur komersial pada masa yang sama tidak mengabaikan seni.

Persembahan Silat Cekak, dibuat dalam bentuk pentomin langsung tidak menarik perhatian saya. Maaf! Namun inilah saya katakan persembahan mereka agar hambar dan tidak pandai mewujudkan unsur pentomin dengan baik. Pentomin tidak menjadi, suara tidak kedengaran menyebabkan saya sendiri tidak faham apa yang ingin mereka sampaikan.Persembahan dari Jerantut, kumpulan khas membawa tarian orang asli sederhana. Menggamit penonton untuk menonton, tetapi membawa kumpulan ini untuk MIS bukanlah idea yang relevan. Ini kerana persembahan MIS adalah untuk kelab, bukan untuk kumpulan luar.

Persembahan teater di tengah acara seperti tidak kena. Banyak kelemahan dari aspek teknikal dan lakonan. Sudah jelas menampakkan kumpulan teater ini tidak membuat persediaan rapi terhadap persembahan MIS ini. Pemilihan naskah Pusaka Sari bagi saya bukanlah pilihan yang tepat, ini kerana karya Pusaka Sari agak berat dan menyukarkan penonton untuk faham. Adalah lebih baik, jika Senandika membuat persembahan drama komedi atau situasi yang santai dan dekat dengan pelajar UMP. Selain itu, suara yang tidak jelas menganggu kelancaran drama.

Persembahan Nyanyian Puisi bersifat sederhana. Ia hanya seperti persembahan di majlis makan malam dan penonton sekadar mendengar acuh tak acuh. Tetapi saya puji kerana kumpulan ini menggabungkan beberapa alatan muzik seperti biola, gitar dan gendang. Ia mungkin lebih menarik andai ada orang yang boleh meniup seruling atau serunai. Akan lebih menyerlahkan ciri-ciri nusantara. Persembahan silat gayung bersifat pemula. Agak menarik dan teruja. Sesuai dengan persembahan silat, silat gayung kemas dari sudut penampilannya. Malah, ia diselang seli dengan aksi lincah mereka di atas pentas. Tahniah!

Persembahan tarian saya sifatkan penyelamat keadaan. Tarian kreatif ini pernah ditarikan oleh mereka semasa Festival Tari di Unimas April lalu. Saya boleh memberikan tepukan gemuruh kerana mereka yang menari adalah pelajar tahun satu. Malah persembahan mereka jelas membuatkan penonton terpaku dengan susunan muzik yang mantap dan mistik. Memang sesuai koregrafi tarian ini memenangi Anugerah Koregrafer terbaik pada Festival Tari 2008.

Persembahan terakhir adalah tarian poco-poco. Saya tak tahu kenapa nak buat poco-poco, tetapi saya sukakan lagu ini. Namun, tiada respon dari penonton untuk naik ke pentas atau menari poco-poco dibawah kerana tiada pengacara yang mengawal selia keadaan. Hanya beberapa AJK sahaja membuat pengumuman mengajak mereka menari. Selain itu, keadaan dewan yang panas menyebabkan penonton hanya menunggu masa persembahan ditamatkan.

Teknikal dan ruang:

Dari segi teknikal, tidak banyak yang saya boleh letakkan unsur kekaguman. Penggunaan lampu seperti tidak kena. Selain itu, audio tidak diselaraskan dengan baik, dan ada beberapa MIC tidak berfungsi.

Backdrop/ latar belakang langsung tiada perkataan MALAM INSPIRASI SENI. Selain itu, apabila tirai dibuka, hanya set Pusaka Sari dipamerkan. Alat-alat muzik lain di letakkan di bawah (ground floor) menyebabkan penonton tidak dapat melihat penyanyi ataupun pemuzik ketika persembahan mereka.

Tiada langsung unsur Nusantara dalam seni tata hias baik dari segi Set, ruang tetamu, tema warna dan hiasan. Saya tidak tahu kenapa tetapi bagi saya ia bukan seperti yang saya jangkakan. RM3 dibayar oleh penonton bagi saya tidak berbaloi. Ini kerana rata-rata persembahan sama seperti persembahan Malam Gagasan Budaya.


Saya sememangnya kecewa kerana penganjur tidak meletakkan MC dalam majlis ini. Amat benar kecewa, kerana mereka seolah-olah mengabai peranan MC yang cukup kuat dalam sesuatu majlis. Apatah lagi matlamat kelab memperkenalkan seni kepada pelajar UMP, jadi peranan MC amat penting bertujuan memperkenalkan kumpulan di bawah KKK.


Cadangan:

Jika tadi saya hanya berikan komen, tetapi kali ini biarlah saya memberikan beberapa cadangan. Pertama, dari segi persembahan. Persembahan adalah tunjang utama MIS. Bermakna pihak penganjur HARUS MEMBERIKAN tumpuan kepada persembahan. Salah satu kaedah ialah membuat gabungan semua kumpulan dan membuat persembahan yang menarik. Contohnya drama muzikal berserta tarian (gabungan antara drama, tarian, okesra dan silat). dan . Ia cukup unik dan boleh diletakkan sebagai persembahan utama malam tersebut.

Kumpulan lagu Puisi boleh bergabung dengan gamelan, okestra dan Koir membentuk satu persembahan harmoni. Ini dikuatkan dengan persembahan pelbagai lagu yang komersial bagi menarik penonton mendengar.

Persembahan tarian boleh dibuat pada pembukaan (tarian tradisional) dan penutup bagi tarian kreatif. Untuk sesi penutup, tarian poco-poco sudah sesuai, tetapi jika ada MC sudah pasti boleh mengajak penonton naik ke pentas dan menari poco-poco. Selain poco-poco, penganjur boleh mengajak penonton menari zapin atau joget lambak.

Tema malam tersebut adalah nusantara. Secara definisi Nusantara adalah kelompok Malaya, Indonesia, Brunei dan Filipina (kepulauan Sulu). Tema ini luas, jadi penganjur harus kecilkan skop bagi menimbulkan unsur tersebut. Persembahan tarian tradisional Sabah Sarawak boleh dibuat seperti tarian Sumazau ataupun tarian buluh. Jika tidakpun, letakkan elemen tersebut dalam drama. Muzik iringan semasa cabutan bertuah boleh dipasang seperti muzik mohram yang akan menonjolkan elemen nusantara.

Pertunjukkan fesyen boleh juga diadakan bagi memberikan informasi mengenai tema nusantara. Contohnya fesyen batik, baju kebaya, baju melayu, fesyen kadazan ataupun Bajau.

Dewan KMPH sememangnya panas, adalah lebih baik memberikan penonton cenderamata berbentuk kipas. Ia lebih ekonomik dan mampu mengelakkan penonton beralih arah begitu sahaja. Kipas tambahan boleh dipasang di bahagian belakang, dan perkara ini harus diselesaikan oleh Unit Teknikal.

Ini hanya beberapa cadangan kecil dari saya. Pendek kata MIS perlukan persediaan rapi. Pengarah persembahan (art director) harus membuat persediaan dan tahu aturan persembahan sebulan sebelum persembahan sebenar bermula.

Kesimpulan:

Walau apapun alasan diberikan, keadaan sudah pun berlaku. Alasan kekangan masa, kelewatan mendapatkan kelulusan bukanlah perkara yang ingin didengar oleh penonton. Apa yang pasti, penonton datang untuk melihat suatu bentuk persembahan yang berharga RM3. Seharusnya pihak penganjur bijak dari pengurusan terutama dari bentuk persembahan bagi mengelakkan masalah besar timbul.

MIS adalah projek besar kelab. Semasa saya tinggalkan KKK, kelab haruslah membuat dua aktiviti wajib tahunan iatu MIS dan Minggu Peradaban. MIS bukanlah projek seperti melepaskan batuk di tangga. Ia memerlukan kerjasama dari pihak yang kecil sehinggalah pihak atasan. Mungkin tidak perlulah sehebat Citrawarna Malaysia ataupun Himpunan Siswa Merdeka, tetapi biarlah penganjuran tersebut kemas, sistematik dan tidak kelam kabut.

Jika diukur, MIS seharusnya bersifat matang kerana ini adalah penganjuran ketiga. Penganjuran MIS bukan lagi seperti MIS 2005 yang banyak kelompangan. Sewajarnya kelompangan itu sudah ditampal dalam MIS 2008 ini. Harapan saya, MIS 2009 dibuat dengan baik dan jadikan MIS 2008 sebagai satu bentuk pengajaran.

Apa-apa pun saya ucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya jua menganjurkan MIS ini. Saya tidak keberatan untuk memberikan idea dan pandangan agar MIS pada masa akan datang lebih baik dari tahun ini.

Terima kasih juga pada En. Abdullah (Abg Dollah) dan Saudara Ikhwan (bekas Presiden sesi 2006) yang hadir pada malam itu.

Sekian, terima kasih.

7 comments:

nyda said...

wow!!
panjang lebar komen abg raja
tapi padat dgn info yg berguna
sedih jugak tak dpt pegi tgk MIS08
teringat plak MIS 05 n 06
best sgt2!! satu pengalaman yg berharga
MIS ni la event yg slalu sy tunggu2
tak pe, yg berlalu ttp berlalu
kite amik pedoman dan belajar dr kesilapan lalu
ape yg abg raja tulis ni harap adik2 dapat ambil sebagai panduan utk tingkatkan lagi mutu MIS di masa akan datang
abg raja syg kelab sbb tu die tak penah lokek nak kongsikan ilmu dengan adik2 jr. sy faham sbb sy juga syg kelab..hehehe~

utk adik2 yg baca ni;
jgn lunturkan semangat anda
sy yakin anda boleh buat yg terbaik selepas ni..sy doakan mg KKK terus gemilang~

(",)

WanHidayat said...

Salam....masih aktif ko ek...aku punya lah tunggu bilalah ko nak buat pilem nih...tapi klu ko nak buat pilem jgn lupa amik aku berlakon...ko kan dah nampak bakat terpendam aku jadi budak cacat dalam 'heal the world' dulu2 kan....

apa2pun selamat maju jaya ek...

Farani Mustafa said...

Hehehe... Itu je yang mampu keluar dari mulut yang terkumat-kamit ini... Hurm... Ntah lah... Apa la agaknya yang berlaku selepas ini...

Raja Azrul said...

nida:-
-alah..nida komen panjang gak,hihihi...

dayat:-
-aku aktif? kebetulan jer aku mmg nak ke UMP pun..lagipun UMP kan tak jauh dr umah aku..kalau ko ada mesti besh!

farani:-
-takpe,usaha lagi..kita belajar dari kejatuhan..barulah matang!

puteri cahaya said...

best nyer bila ader yg sekepala ni..mcm2 kita nak kongsi.. teruskn pejuangan..k?

Salam(",)

iramahati said...

papepun, kpd adik2 junior penganjur majlis, terima segala kata2 saudara raja azrul neh dr aspek positif kerana segala kata2 ni adalah kerana dia (dan sy juga serta kami smua) sygkan kelab... semoga MIS akan terus gemilang di UMP.

FendyHekka said...

bravo... panjang sungguh komen ko. tp apa yg slh elok ditegur depan2. jgn nnt dh parah baru sibuk mencari 1st aid kit.