Ulasan Filem : Khurafat Perjanjian Syaitan


Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Wah,hebatnya saya! Dua entri berturut-turut memberi komen terhadap filem. Filem melayu pula tu..hehe. Untuk kali ini, saya akan membuat ulasan mengenai filem Khurafat - Perjanjian Syaitan, filem arahan anak kepada Datuk Yusof Haslam iaitu Shamsul Yusof. Saya menontonnya di One Utama, bersama dengan rakan saya dan dua orang adik saya. Pawagam masa itu separuh penuh, mungkin disebabkan saya menonton semasa hari bekerja.

Ulasan saya:-

Filem berdurasi tidak sampai 1 jam suku ini adalah filem seram pertama arahan Syamsul Yusof. Ini juga merupakan filem seram pertama lakonan beliau dan terbitan Skop Production. Ternyata percubaan pertama pengarah muda ini membuahkan hasil. Maka, tidak sia-sia gelaran "pengarah terbaik" Festival Filem tahun lepas.


Apabila memperkatakan filem seram, saya antara peminat filem seram. Tidak kisahlah dari Thailand ke, Hong Kong ke, China ataupun Singapura. Bagi saya, filem-filem seram Asia mempunyai mesej tersendiri. Kalau sesetengah orang berpendapat, filem seram memesongkan akidah, saya rasa itu tidak rasional. Filem seram ada signifikan tersendiri, dan cara "halus" dalam menyampaikan maksud. Jika diamati sebenarnya, filem seram lebih santai untuk ditonton berbanding dengan filem komedi yang kadang-kadang tidak masuk akal.

Namun tidak semua filem seram menarik untuk ditonton. Jika pengarah gagal menggarap plot dengan baik, atau sekadar buat filem "syok sendiri", maka filem seram sebeginilah yang menjadi kritikan penonton. Tidak bagi filem Khurafat. Filem berjudul "Khurafat" atau maksudnya sebenarnya ialah menyekutukan Allah, adalah antara amalan yang sering berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini. Tidak dinafikan, elemen dan plot dalam filem ini selari dengan tema filem ini iaitu Khurafat.

Filem ini adalah filem seram. Bukan filem berkaitan dengan lagenda pontianak atau amalan susuk ataupun ilmu santau. Menariknya filem ini lari dengan tipikal filem seram melayu. Tidak ada wanita kena rasuk ataupun sampuk. Tidak ada agedan santau atau perempuan menjerit macam dalam filem Mistik. Cuma ada sedikit sahaja amalan perbomohan. Itupun diawal cerita. Watak hantu wujud dalam filem ini, dan watak hantu tersebut benar-benar memberikan kesan kepada penonton.

Ternyata Syamsul membuat kajian terlebih dahulu mengenai filem ini. Kita akan mudah terasa seram jika berada di hospital, bilik mayat, rumah kampung, mayat..dan kawasan hutan. Mood seram ditambah pula dengan kesan teknikal dapat membuatkan penonton merasakan "aura seram" ketika menonton filem ini. Ditambah pula dengan kesan bunyi yang menakutkan, bezanya bunyi dalam filem ini tidak akan ada suara pekikan seperti dalam Filem Jangan Pandang Belakang.

Plot filem ini sebenarnya mudah untuk difahami. Satu per satu penonton akan dibawa mengikut watak Johan ( Syamsul Yusof) , Aishah ( Liyana) dan Ana ( Sabrina Ali). Penonton akan mula berteka -teki dan akan membuat kesimpulan mengenai pengakhiran filem ini. Tapi percayalah, garapan kreatif syamsul membuatkan penonton berteka-teki, dan pengakhiran filem ini adalah sesuatu yang tidak diduga.

Jika diukur, saya merasakan Syamsul ternyata bijak mengawal emosi penonton. Dia sebenarnya mungkin mencedok idea filem-filem seram Thailand, yang mana filemnya ringkas, seram dan menarik ketika ditonton. Syamsul cuba menggunakan kaedah seram yang lazimnya muncul dalam filem seram negara jiran.

Kelemahan filem ini ialah plot-plot seram yang masih sinikal. Ada babak-babak seram sebenarnya boleh diperkuatkan lagi. Durasi filem ini agak pendek, jadi kepuasan menonton mungkin agak kurang. Ada juga beberapa babak sedikit longgar, dan ada juga babak yang tak perlu dimasukkan di dalam filem pun.

Mungkin ingin nampak semulajadi, kebanyakan babak seram tidak menggunakan teknologi komputer. Jadi, mood seram akan lebih terasa. Cuma lakonan Syamsul masih di tahap biasa, kadang-kadang tak berjaya menghayati watak dengan baik. Contohnya ketika berdepan dengan gangguan makhluk halus, mimik muka syamsul masih lagi di tahap biasa. Saya rasa dia kena belajar ilmu lakonan denga ayahnya. Saya rasa watak Johan lebih sesuai dibawakan oleh Aaron Aziz, Que Haidar ataupun Piere Andre. Liyana Jasmay memang tidak nafikan dapat memegang watak dengan baik. Sangat sesuai menjadi isteri Johan, walaupun wajahnya nampak keanak-anakan. Namun lakonan mereka tidaklah sampai menjejaskan mood menonton filem ini.


Watak paling saya suka ialah watak Ana dan Mariani. Watak Ana lakonan Sabrina Ali sangat berkesan terutama babak beliau cuba membunuh diri. Mariani pula yang memegang watak sebagai "makcik tukang sapu" sangat ringkas. Muncul dalam dua tiga babak tapi berjaya memberikan kesan mendalam kepada penonton.


Akhir kata, filem ini mengadunkan beberapa perkara. Pertama elemen seram, kedua elemen sedih, ketiga elemen thriller, dan keempat elemen keagamaan. Maka, jika anda ingin hujung minggu anda diisi dengan sesuatu kelainan, saya cadangkan untuk anda menonton filem ini. Percayalah, filem ini akan membuatkan anda terkejut dan menjerit ( untuk golongan perempuan). Tahniah Syamsul ! Harap ada sambungan filem ini..

4 bintang

***

Nak Kongsi : Semasa saya menonton filem ini, ada beberapa orang penonton wanita keluar wayang, dek kerana ketakutan. Tak kurang juga yang menjerit sambil menutup muka dengan beg tangan.


Video "reaksi Penonton" semasa filem Khurafat..amacam? percaya tak?



raja azrul

Comments

Melody M. said…
4 bintang? macam tu, aku nak cuba tengok lah. Mula-mula filem ni keluar, aku antara nak tengok atau tidak. Lepas baca review kau, oklah, nak tengok.
Raja Azrul said…
mel:- sebenarnya aku pun memula dulu tak berapa nak tgk sangat, tapi lepas tengok Melodi TV3 tu, terus mcm nak tgk pula.

Stars rating aku leh bagi dalam 3.5 - 4 sebenarnya..but compare other malay horror movie, this is good lah

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...