Mengira detik

Wednesday, December 07, 2011

Jalan-Jalan : Langkawi

Salam sejahtera buat semua pembaca,

Lama dah tak kemas kini mengenai program jalan-jalan kan? Terima kasih pada mereka yang membaca blog ini, walaupun agak lewat dikemaskini. Hehe...Baiklah, saya nak kongsi pengalaman cuti-cuti Malaysia pula. Ke mana?? Langkawi.

Sebut pasal Langkawi, saya rasa dah ramai yang pernah pergi. Mungkin ada yang pergi bersama lawatan sekolah takpun pergi bersama keluarga. Sebenarnya saya pernah pergi ke sana pada waktu saya kecil, kali kedua pula semasa tingkatan 5...dan 10 tahun selepas itu, barulah saya pergi ke Langkawi. Boleh dikatakan sudah banyak perubahan pada pulau Lagenda ini. Dulu, pulau ini biasa sahaja, tak banyak tempat boleh dilawati. Tapi sekarang, ia sudah berubah, menjadi salah sebuah pulau tercantik di Asia.

Saya pergi pada bulan Oktober lepas. Kali ini, yang bersama saya ialah ibu saya dan adik bongsu saya, Raja Akmal. Sebenarnya dah rancang awal, jadi taklah kelam kabut sangat. Kami buat kelaianan, pergi naik feri balik naik kapal terbang. Bukan apa, pergi tak banyak sangat bawa barang. Tapi bila balik...huhu...memang akan terlebih bagasi.

Hari Pertama:
Tiba di Kuala Perlis setelah perjalanan hampir 7 jam dalam bas. Sebenarnya saya malas nak naik bas. Bas pula lewat, kemudian masuk pula Alor Star, Changloon, Jitra, Kangar...fuh....memang naik kematu. Dahlah tak banyak berhenti, memang penatlah juga. Tapi kiranya seronoklah juga kerana dapat melihat suasana pagi yang indah di Kuala Perlis.

Untuk pengetahuan, anda boleh ke Langkawi melalui feri dengan empat cara. Pertama, melalui Kuala Perlis. Perjalanan memakan masa dalam 1 jam. Kedua, dari Kuala Kedah...lama sikit dalam 1jam 30 minit. Ketiga, dari Satun, Thailand. Biasanya untuk orang Siam ler...dan terakhir, dari Pulau Pinang...lebih kurang 2 jam.

Selalunya, orang akan senang ke Kuala Perlis. Sebab lokasinya mudah, dan banyak bas ekspress dari Kuala Lumpur. Lagipun, stesen bas ke jeti tak jauh. Dalam 10 minit berjalan kaki. Kami menaiki feri dalam jam 10.40 pagi, dan sampai ke jeti Kuah dalam jam 11.45 pm. Sampai sahaja, kami disambut oleh En.Azam, pemandu pelancong saya. Kami teruskan menikmati makan tengahari di Warung Siti Fatimah. Warung ini memang sedap kerana menawarkan buffet makan tengahari pada harga yang murah dan berpatutan. Ada macam-macam lauk tradisional melayu seperti Asam Pedas, Gulai kawah, ikan bakar, masak lemak dan paling sedap, air asam. Ada juga ulam-ulaman kampung seperti pucuk ubi, ulam raja, dan pucuk gajus.

Warung ini terletak Jalan ke Makam mahsuri. Jadi, selepas makan, kami singgah pula ke Kilang gamat dan Makam Mahsuri. Macam kita tahu, gamat merupakan produk utama bagi Langkawi. gamat ternyata ubat mujarab untuk merawati luka ringan dan juga baik dari segi kesihatan. Tapi saya ni bukan kaki shopping, jadi tak banyak lah benda yang dibeli. Selepas itu, kami mula bergerak ke Makam Mahsuri. Makam mahsuri sekarang ini dikenali sebagai kota Mahsuri. Ia terletak di Mukim Ulu Melaka. Siapa tak kenal Mahsuri, wanita yang dipercayai difitnah dan dihukum sula sampai mati. Saya malas nak cerita sejarah dia, tapi kawasan kota mahsuri ini jauh lebih tersusun berbanding 10 tahun lepas. Jika dulu, kota mahsuri ini hanya ada Makam dan rumah Kedah, kini ada macam-macam lagi disini. Ada tempat tayangan video, muzium, kedai cenderamata dan macam-macam lagi ar. Harga masuk untuk makam ini ialah RM5 sahaja. Kiranya berbaloi jugalah.

Selepas itu, masa untuk check in!! Yeargh!! Sebab dah kepenatan seharian dengan lawatan yang padat, dan pada masa sama, tak mandi..hehe. Jadi, inilah masa tuk rehatkan diri seketika. Hotel yang kami pilih ialah De Baron Resort, Kuah. Ia terletak di antara Pekan Kuah dan Jeti. Dan, hotel ini berdekatan dengan laut. Nasihat saya, ambil seaview. Sebab view dia memang chantek jika dibandingkan dengan hill view.

Makan malam kami di Wan Thai restaurant. Terletak di pekan Kuah, Wan Thai antara restoran Thai Halal yang terkenal di Langkawi. Sebab apa? Sebab dekorasi dia memang seperti anda berada di Thailand, dan makanan dia memang asli Thai. Saya katakan ini antara restoran Thai terbaik yang pernah saya pergi. Harganya boleh tahan ( masih murah) berbanding dengan restoran lain di langkawi. Jadi, kalau anda datang ke Pekan Kuah, jangan lupa untuk menikmati masakan Thai di restoran ini.


Hari kedua:

Hari kedua, saya mengambil keputusan untuk menyewa kereta. Nak sewa kereta di Langkawi tak susah, tapi kena cepat. Maklumlah, kalau musim cuti sekolah memang sentiasa penuh, dan harga pula boleh berganda-ganda. Saya menyewa daripada Sarah, staff hotel De Baron yang banyak membantu saya semasa check in. Harga pun tak mahal, dalam rm70 untuk kereta Naza Picanto. Kira oklah tu....lepas lah kalau nak pusing satu pulau.

Selepas sarapan ( sorry yer..sarapan di sini tak berapa sedap), kami ke kereta kabel Langkawi. Apalah nasib, di sana rupanya kena beratur panjang. Fuh...memang panjang...bolehlah tahan. Hampir satu jam jugalah beratur. Nak pulak pada masa itu ada rombongan sekolah dari seluruh Malaysia, jadi memang beratur agak panjanglah. Nasib baiklah sistem di sini agak efisyen, jadi taklah rasa lama sangat. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki kereta kabel Langkawi, yang dikatakan antara tercuram di dunia. Saya setuju rasanya, sebab memang curam pun. Jadi tuk siapa yang gayat, rasanya lupakan sahaja tuk naik kereta kabel ini. Di puncak Gunung Mat Cincang ini, anda akan dapat menghayati pemandangan indah seluruh Pulau Langkawi. Anda juga dapat melihat Thailand jika cuaca cerah. Suasana di atas nyaman, tapi agak panas. Maklumlah berada di Malaysia.

Selepas kereta kabel, kami meneruskan perjalanan ke Langkawi GeoPark. Ia terletak di Kilim, kalau nak lebih terperinci terletak di Jalan ke Galeria Perdana Langkawi. Lokasi dia agak tersorok, tapi terkenal di kalangan pelancong asing. Maklumlah, orang Malaysia mana minat sangat nak masuk hutan-hutan ini. Langkawi Geo Park merupakan taman negara yang diiktiraf oleh UNESCO sebagai antara geopark tertua di dunia. Saya tak nafikan kerana ia memang unik. Di sini ada bermacam-macam pakej, dan harga bergantung kepada pakej. Setiap pakej ada masa dia....dan harga disewa adalah berdasarkan satu bot. Kalau anda pergi berdua, rugi sikitlah sebab anda kena bayar satu bot. Nak murah, sewa ramai-ramai. Jadi dapat jimat sikit.

Saya amek pakej 2 jam....harga dalam RM250 per bot. Kiranya kalau dalam 8 orang, lebih kurang dalam RM32 seorang. Kira berpatutan lah juga. Pakej ini merangkumi ke Gua Kelawar, Gua Buaya, Sangkar Ikan, Tempat Helang, dan laut. Di Gua kelawar, anda dapat melihat dan merasai sendiri tempat tinggal kelawar secara semulajadi. Jangan risau, anda boleh menyewa lampu suluh, dan semua kelawar ini sedang tidur ( kan kelawar aktif pada waktu malam).

Lepas gua kelawar, kami ke gua buaya. Takda apa menarik, cuma gua ini dipercayai dahulu merupakan tempat tinggal buaya air masin. Nasib baik sekarang dah takde. Kalau tidak, pasti ramai tak berani untuk ke situ. Selepas itu, kami ke sangkar ikan. Tempat ini cukup menarik, ada pelbagai spesis ikan di sini termasuklah ikan pari. Siapa sangka, ikan pari yang kita makan asam pedas tu, merupakan antara spesis ikan yang jinak. Siap boleh bermanja-manja lagi. Selain pari, ada ikan siakap, belut dan macam-macam lagi. Memang sesuai untuk sesiapa yang suka binatang.

Selepas itu, perjalanan bot diteruskan ke kawasan Helang. Ini antara pengalaman menarik. Helang-helang jenis "winston" bebas berterbangan di sekitar kawasan sungai kilim. Pemandu bot akan mencampakkan beberapa cebisan daging ayam mentah ke dalam sungai, dan helang-helang ini akan terus menyambar makanan tersebut ( dah sifat helang menyambar..hehe). Memang satu pengalaman unik kerana ikon Langkawi ialah helang. Jadi tak hairanlah, di sungai Kilim ini, ia merupakan habitat utama bagi helang-helang ini.

Akhir sekali, kami ke lautan lepas untuk melihat beberapa pulau semulajadi. Antaranya ialah pulau Kasut. Nama kasut kerana bentuknya seperti kasut. Selepas sahaja mengambil gambar, tamatlah sudah pakej kami. Perjalanan diteruskan ke pekan kuah untuk membeli belah.

Kalau bab membeli belah, Langkawi adalah syurganya. Tapi harus diingat, bukan semua barang adalah murah. Barang yang murah di Langkawi ialah Coklat, rokok, kain batik dan pinggan mangkuk. Selain itu, kereta juga murah, tapi takkanlah nak angkut bawa naik feri pulak kan? Hehe....tempat shopping paling best dan popular ialah Idaman Suri dan Haji Ismail group. Semuanya menawarkan harga yang murah dan terbaik! Jadi, jangan lepaskan peluang untuk membeli pinggan mangkuk. Bawa duit secukupnya tahu!

Hari ketiga:

Hari terakhir...tiada apa aktiviti dilakukan kecuali membeli belah di saat-saat akhir. Sempat juga kami makan tengahari sekali lagi di restoran Wan Thai. Mama pula sempat membeli kuih lompang hijau untuk dibawa balik. Petang itu, dalam jam 3.00pm, kami pun bertolak ke lapangan terbang Langkawi. Alhamdulillah, selamat tiba di LCCT dalam jam 6.00pm. Memang tak penat naik flight, cuma ralat sikit sebab bagasi terlebih...hehe.

Apapun Langkawi antara destinasi terbaik untuk anda lawati di Malaysia. Saya rasa masih belum cukup puas untuk ke sana, kerana masih banyak lagi tempat yang belum diterokai.

Baiklah ini tips ringkas jika anda mahu merancang untuk ke sana:

1. Elakkan dari pergi semasa musim puncak seperti cuti sekolah atau cuti umum. Ini kerana, kebanyakan hotel akan penuh dan harga sewa kereta akan berganda.
2. Jika mahu ke kereta kabel, pergi pada waktu petang, kerana orang tidak begitu ramai pada waktu tersebut. Bawa sekali Mycard untuk dapat harga istimewa warganegara.
3. Sewa kereta mengikut hari kerana ia lebih murah jika dibandingkan sewa ikut jam. Tawar menawar jika boleh.
4. Kalau anda dalam kumpulan yang besar, kalau boleh, naiklah feri awal pagi. Untuk mengelakkan kesesakan di terminal. Jika anda mampu, naiklah kapal terbang. Ia lebih berbaloi, malah badan pun tak penat.
5. Membeli belah dalam kuantiti sedikit untuk mengelakkan dikenakan cukai. Rancang pembelian anda terutama pinggan mangkuk dan kain batik.

Ok, pada sesiapa yang merancang tuk ke Langkawi...kita layan dulu gambar-gambar saya ketika di sana.....


Perjalanan pulang ke Kuala Lumpur


Adik dan Mama di dalam kereta kabel Langkawi


Pemandangan indah dari dalam hotel


Adik bongsu ku di Makam Mahsuri


Aksi bermain dengan ikan pari



Menunggu flight di Langkawi airport


Helang di Kilim Geopark


rajaazrul

10 comments:

Fikri Rais said...

Jom P Langkawi !!! :)
Jalan Jalan Cari Makan Langkawi

Intan Norhaida said...

baru nk pg before aidiladha ni....
nice tips there....
xde carake nak elakkan cukai???

supermommapots said...

ok tak penginapan di tempat tu?saya baru menempah kat booking.com..:) makan tak kisah janji tempat tido selesa..

Raja Azrul said...

Intan:

Kalau nak elak cukai, elakkan beli barangan dalam jumlah yang banyak. Kalau imigresen tanya, cakap le nak pakai atau bagi saudara mara.

Supermom:
Kat mana? Baron ke? Secara kasar, kira oklah..cumalah breakfastnya agak teruk sedikit. Tapi dari segi lokasi dan pemandangan memang cantik!

Kalau ada bajet lebih, tidurlah di Bayview atau Grand cont.

Anonymous said...

De Baron ok jer, bilik besar jugak. 2 queen bed. Bbf tu biasa2 jer...hihi. kene tido 2 mlm br boleh lepas cukai...tp klu beli selori, mana nak lari....hehehe

Anonymous said...

hai..sy bru je nk join pg..jauh x prjlnn die from one place to other place?

Raja Azrul said...

anon 10/1/13

Tak jauh...langkawi ni pulau kecil sahaja...cuma kena ada kereta laa. Kalau nak sewa kereta, kena bijak tawar menawar..

mizhar said...

Jun 2012 aku pi langkav and geng,mula2 sampai langkav dulu burung lang tak siap lg,agak2 kome dh brapa lame teman tak g sana?. mmg tersangat le lainnye.. tahun ni 2013 aku bw anakbini aku lak,dah boking awal2, musim cuti sekolah ujung taun, 3mlm di chenang,3 mlm di kuah... aku takmau sewa kreta drive sendiri tapi aku nak pasang bodyguard merangkap pemandu. Dgn harga tertentu,apa pendapat korang... sewa kreta lbh sesuai/d pemandu merangkap bodyguard lbh sesuai. Aku tengah penin nak yg mana 1 ni...

mizhar said...

Jun 2012 aku pi langkav and geng,mula2 sampai langkav dulu burung lang tak siap lg,agak2 kome dh brapa lame teman tak g sana?. mmg tersangat le lainnye.. tahun ni 2013 aku bw anakbini aku lak,dah boking awal2, musim cuti sekolah ujung taun, 3mlm di chenang,3 mlm di kuah... aku takmau sewa kreta drive sendiri tapi aku nak pasang bodyguard merangkap pemandu. Dgn harga tertentu,apa pendapat korang... sewa kreta lbh sesuai/d pemandu merangkap bodyguard lbh sesuai. Aku tengah penin nak yg mana 1 ni...

Raja Azrul said...

Mizhar - better amek kereta sahaja, jika ada pemandu, harga akan mahal. Kebetulan anda pergi waktu musim cuti sekolah (awal Jun 2013).

Langkawi tak besar sangat, senang je nak explore. Jalan raya dia pun sama je mcm kat semenanjung. Selamat melancong!