Nenda yang ku kenali....

Salam sejahtera,

9 Feb 2012 - nenda yang amat ku sayangi telah pergi buat selama-lamanya. Nenda menghembuskan nafas terakhir di kampung Temau, Raub, Pahang pada jam 6.30am sesudah subuh. Nenda yang bernama Ramah Binti Din ini dipanggil wan oleh cucu-cucunya.Beliau juga terkenal dengan sikap garang tetapi pada masa sama juga amat sayang kepada cucu-cucunya.

Pengalaman aku bersama Wan mungkin berbeza dengan cucu-cucu yang lain. Aku sempat tinggal di kampung dan dijaga oleh wan. Masih segar lagi pengalaman pahit manis dengan wan. Tidak juga aku nafikan diantara adik-beradik, aku antara yang rapat dengan Wan.

Semasa aku berusia 4 tahun, aku sudah tinggal di kampung. Aku sama seperti kanak-kanak lelaki yang lain, nakal dan fikiranku hanya ingin bermain sahaja. Satu peristiwa yang wan pernah cerita kepada ku ialah bagaiman aku dan adikku - raja azriq bermain di dalam tempat simpan koko wan. Oh ya, wan seorang petani. Dahulu kawasan sekeliling rumah wan ditanam pokok koko. Wan akan mengupas koko-koko tersebut dan diperam di dalam tempat khas sebelum dijemur. Dan tempat itulah menjadi taman permainan kami adik beradik.

Selain tempat koko, salah satu peristiwa yang masih terpahat ialah bagaiman wan membuat permainan "angkat kelapa" dibawah rumah. Konsep permainannya amat mudah, ikatkan kelapa tua dengan tali, dan digantung dibawah rumah. Hujung tali pula diselitkan dan kelapa akan dijadikan seolah-olah pemberat sebagaimana alatan senaman di gym. Permainan inilah yang menjadi rutin kami setiap pagi dan petang.

Setelah berpindah di Pahang, kami agak kerap pulang ke kampung terutama pada waktu cuti sekolah. Setiap kali cuti sekolah, pelbagai aktiviti dilakukan di kampung. Masih aku teringat, wan akan sentiasa mengajak aku menemaninya mencari lembu-lembu pada setiap petang. Wan akan memasang ubat nyamuk diisi dalam bekas khas sebelum ke paya-paya di belakang rumah. Selalunya aku akan menemannya di tepi jalan sahaja, selepas itu dia sendiri akan masuk ke dalam paya mencari lembu-lembu. Setelah berjumpa dengan lembu, barulah kami akan membawa lembu tersebut ke kandang.

Wan juga seorang yang pandai memujuk aku. Walaupun beliau dikenali sebagai seorang yang garang, beliau sebenarnya amat pandai memujuk aku terutama ketika aku merajuk. Pernah suatu petang aku menangis (masa ini aku tak ingat sebab apa) dan aku lari ke pondok di tengah kolam. Maka wan sendiri datang memujuk dan membawa aku pulang ke rumah. Bila dikenang kembali peristiwa ini, terasa diriku amat tidak matang sekali - maklumlah budak-budak.

Wan juga terkenal sebagai tukang masak terkenal. Dua menu yang aku rasa amat sukar orang lain tandingini iaitu lemang dan dodol. Aku pernah membantu wan membakar lemang sehari sebelum hari raya. Ternyata wan amat cerewet dalam memastikan lemang tersebut betul-betul masak sempurna. Malah bancuhan santan, batang buluh digunakan haruslah tepat dan berkualiti. Begitu juga dodol. Setiap kali hari raya, dodol wan menjadi kemestian untuk dihidangkan. Aku teringat yang wan pasti akan menyimpan kerak dodol kerana ia adalah bahagian kegemaran ku. Selain dodol dan lemang, wan juga amat pandai memasak gulai lemak cili api kulat dan pucuk ubi goreng pedas. Nampak ringkas, tetapi apabila dimakan dengan nasi panas, ia adalah satu kombinasi yang hebat dan menarik!

Wan dikatakan seorang yang garang tetapi dia jugalah antara guru dalam hidupku. Wan pernah mengajar aku mengaji muqadam, membawa aku mengenal sayuran dan ulaman kampung dan macam-macam lagi. Mungkin suaranya kuat dan nyaring membuatkan semua orang menganggap dia seorang yang garang dan sukar difahami, tetapi ternyata ia bukan seperti itu. Wan juga sama seperti namanya, seorang yang amat ramah, dan mudah menerima tetamu dengan baik.

Semasa aku kecil, aku memang manja dengan wan. Pernah semasa cuti sekolah, wan berjanji untuk membawa aku dan adikku ke pekan sari di Dong, Raub. Wan sanggup menunggu bas hampir satu jam, memimpin kami adik beradik bagi memastikan janjinya itu dikota. Di pekan sari, perkara yang memang akan dibeli oleh wan ialah mainan Tora atau Ding Dang. Hihi. Wan juga akan membeli apam balik Dong, yang sememangnya terkenal jika berkunjung ke sana. Sampai sahaja di hilir temau, Tok akan datang menjemput kami bertiga dengan motorsikal lagendanya.

Apabila terkenang saat-saat manis bersama wan, sememangnya banyak. Seingat aku, aku pernah menangis ketakutan akibat bunyi kilat dan hujan lebat. Disitulah wan datang dan memujukku. Wan juga pernah membantu aku membuang lintah selepas aku mandi sungai. Wan juga pernah memandikan aku dengan sabut kelapa setelah kami bermain lumpur dan selut. Kenapa aku boleh ingat semua ini? Ini disebabkan rakaman video yang pernah dibuat oleh papa dahulu. Huhu..cuma sayangnya rakaman ini sudah luput semasa kami berpindah rumah 10 tahun yang lepas.

Kini semua yang hanya tinggal kenangan. Wan yang kita sayangi sudah pergi buat selama-lamanya. Apa-apapun, sebagai cucu, aku redha dengan pemergiannya. Cuma sedikit terkilan kerana aku tidak sempat menatap wajah wan buat kali terakhir kerana tatkala aku tiba di kampung, jenazah wan sudahpun dikebumikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al fatihah.



rajaazrul - al fatihah buat arwah papa, tok raja adam, tok wan yusof, tok nek.

Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...