Travel

Travel

Mengira detik

Friday, August 10, 2012

Jalan-jalan : Australia (part 2)

Salam sejahtera semua,

Baiklah...kali ini bersambung untuk menulis mengenai perjalanan saya ke bumi Kangaroo. Dulu saya dah bercerita mengenai Melbourne..kalau nak tahu sila klik di sini.

Kali ini, penceritaan diteruskan..iaitu mengenai perjalanan saya ke Sydney. Rasanya semua orang dah tahu Sydney yang merupakan bandaraya terbesar di Australia. Ia juga merupakan bandar tertua dan ibu negeri kepada New South Wales. Untuk makluman juga, Sydney bukan ibu negara, kerana ibu negara Australia ialah Canberra. Sydney merupakan bandar pelabuhan dan semestinya juga nadi kepada ekonomi Australia.

Hari Keempat (24 Mei 2012)

Kami semua tiba di Lapangan terbang Sydney dalam jam 8.00pm dari Melbourne. Oh ya kalau anda nak jimat anda boleh beli tiket Jet Star, harganya dalam RM300 seorang. Kira oklah tu untuk penerbangan 1 jam 25 minit. Jet star ini macam Air Asia..semua makanan kena beli.

Kami disambut oleh wakil agen di sini, Mr. William. Selepas itu, terus menaiki bas dan bertolak ke tempat makan iaitu Restoran Delima. Restoran ini adalah restoran Indonesia, dan makanannya berkonsepkan sunda. Saya suka restoran ini sebab sedap dan suasananya tak ubah seperti berada di Jakarta. Selepas makan, barulah kami semua ke hotel yang terletak tak jauh daripada restoran.

Hari Kelima (25 Mei 2012)



Selepas bersarapan, pagi ini aktiviti diteruskan dengan melawat sekolah Heathcote yang terletak lebih kurang 1 jam perjalanan dari Sydney (hotel).  Sekolah ini bersebelahan dengan Taman Negara Diraja (royal national park). Tapi jangan salah faham, taman negara dia bukanlah macam hutan kita. Disana kebanyakan hutan adalah hutan belukar (bush), dan pokok-pokoknya tidaklah tinggi mana.



Sekolah Heathcote adalah sekolah rendah yang terdiri daripada kurang 100 orang pelajar. Kiranya sekolah ini sebenarnya adalah sekolah luar bandar. Sekolah ini tak ramai guru, adalah dalam 10 orang dan menariknya sekolah ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuklah komputer dan ipad. Hebat kan? Lagi satu yang hebat, sekolah ini tidak ada pagar dan pengawal keselematan. Menurut cikgu di sana, sekolah ini sering dilawati tetamu tak diundang pada waktu malam iaitu kangaroo. Hebat kann?? Sebab itu lah saya dapat melihat ada banyak tahi kangaroo di padang sekolah tersebut.

Pagi itu, aktiviti suai kenal bermula. Selepas itu, kesemua peserta dibawa ke dalam hutan untuk aktiviti Bush Walking. Fuh..menarik juga! Dapat melihat dengan lebih dekat hutan Australia. Menurut cikgu nya, kalau musim panas sering terjadi pembakaran hutan, Ini disebabkan oleh kilat dan juga suhu yang terlalu tinggi. Hutannya agak besar, tapi kami berjalan sekitar 1-2 km sahaja. Menurut gurunya lagi, aktiviti bush walking kerap diadakan bagi melatih pelajar untuk menghargai alam sekitar.

Selepas aktiviti bush walking, kami menikmati makan tengahari yang disediakan oleh pihak sekolah. Makanan disediakan ialah roti pita, telur dan epal. Makanannya agak ringkas, tapi bagi saya cukup sedap terutama dimakan waktu musim sejuk begini. Selepas makan tengahari, kami pulang ke Sydney.

Sampai di Sydney, aktiviti diteruskan ialah melawat Power House Museum. Saya sebenarnya suka melawat Muzium, tapi tak ramai yang suka mungkin disebabkan lawatan ke Muzium agak membosankan. Muzium power house  ini terletak tak jauh dari hotel kami, dan saya suka akan muzium ini. Kenapa? Kerana disini anda dapat mempelajari sains secara interaktif dan pada masa sama juga anda dapat melihat barangan lama seperti telefon antik, keretapi dan sebagainya



Setelah itu, kami pulang ke hotel untuk berehat sebelum makan malam di restoran Jaipur.

Hari Keenam (26 Mei 2012)
Bersama pelajar Heathcote

Hari ini program sama sahaja seperti program semalam. Kami melawat sekali lagi ke Sekolah Heathcote. Hari ini juga agak menarik kerana salah satu aktiviti yang kami lakukan ialah bermain boomerang! Memang terbaik! Kenapa? Ini pertama kali saya bermain permainan ini, dan boomerang ini memang 100% asli dibuat oleh orang asli Australia.

Selepas bermain, ada juga beberapa aktiviti sains disini, salah satunya ialah membuat roket daripada botol. Aktiviti ini sangat menarik dan pada sama juga saya dapat belajar mengenai cara membuat roket dan menggunakan air sebagai daya untuk gerakkan roket. Selepas itu, kami semua bersalam-salam dan bertukar hadiah. Cikgu Fauzi sempat menghadiahkan bola takraw sebagai cenderamata kenangan. Kami bertolak ke Sydney dalam jam 1pm.

Tibanya di Sydney, disebabkan ada banyak lagi masa, kami mengambil peluang untuk berjalan sekitar Cockle Bay dan Hard Rock Cafe Sydney. Kami juga berpeluang menaiki monorail pada harga $8 untuk dua hala. Oh ya kalau anda nak berjalan sekitar Sydney, menaiki monorail adalah paling mudah. Kerana monorail merangkumi tempat-tempat menarik sekitar Sydney termasuk lah Pitt Street iaitu kawasan membeli belah utama di Sydney.

Malam itu, selepas makan malam di Restoran Kasturi (restoran Malaysia) kami melawat Sydney Obsevatory,. Untuk makluman, Sydney Observatory ini terletak di atas bukit dan tak jauh dari Harbour Bridge. Bangunannya tak ubah seperti bangunan dalam cerita hantu hollywood. Suasana malam agak sejuk tapi kami berpeluang belajar mengenai sains angkasa dengan lebih terperinci. Antaranya melihat sendiri bintang, buruj dan paling best saya dapat melihat sendiri planet Zuhal dengan teleskop yang berusia lebih 100 tahun. Memang hebat! Disini anda juga diberi taklimat khas oleh pegawai bertugas dan pada masa sama anda juga berpeluang melihat video mengenai angkasa lepas!

Hari Ketujuh (27 Mei 2012)

Hari terakhir sebelum kami bertolak pulang. Hari ini aktiviti tertumpu kepada city tour dan juga melawat Sydney Aquarium dan Wildlife park. Tempat pertama kami pergi ialah Bondi Beach, pantai terkenal di Sydney. Selepas itu kami melawat sekitar Rose Bay, The Gap yang mana kawasan tempat bunuh diri paling terkenal di Sydney. Dan lawatan diteruskan ke Mrs Macquaries Point. Disini anda berpeluang mengambil gambar berlatarbelakang Opera House dan Jambatan Harbour. Memang terbaik!

Tapi angin kuat yang bertiup menyebabkan kami tak berada lama di sana. Kami bertolak pula ke Opera house dan melalui beberapa kawasan sekitar Sydney. Ternyata Sydney memang sebuah kota metropolitan tapi suasananya tak seperti KL. Ia masih lagi tidak sesak walaupun pada waktu puncak. Selain itu, masyarakat di sini lebih gemar menggunakan pengangkutan awam berbanding kereta, jadi sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak.

Melihat Opera house di depan mata membuatkan saya sangat kagum. Memang tidak sangka, tempat yang menjadi ikon utama dunia kini berada di depan mata. Di sekitar opera house juga terdapat beberapa buah kedai yang menjual cenderamata Australia.

Fish n Chip di Darling Harbour

Waktu makan tengahari kali ini agak berbeza kerana kami menikmati makanan tengahari di restoran Nick 101 Cafe yang terletak di Cockle Bay. Restoran ini menghidangkan fish and chip, dan terus terang fish and chipnya sangatlah sedap! Walaupun saya kurang makan ikan, tapi untuk fish and chip ini, saya masih boleh telan. Hehe.

Petang itu aktiviti diteruskan dengan melawat  Sydney Aquarium dan Sydney Wild Life Park. Ia terletak tidak jauh dari tempat kami makan. Di Sydney Aquarium, anda berpeluang melihat sendiri jerung, platipus, jerung gergaji dan banyak lagi hidupan laut Australia. Memang berbaloi kalau anda melawat ke sini. Selepas itu, kami melawat pula ke Sydney Wildlife Park. Ia terletak bersebelahan dengan Sydney Aquarium. Paling menarik disini anda berpeluang melihat Kangaroo dan beruang Koala. Anda juga dapat melihat buaya jantan dan antara yang terbesar di Australia. Konsepnya bukan seperti Zoo, malah ruang pameran yang kecil, jadi anda tak perlu risau untuk berjalan.

Bergambar berlatarbelakang Opera House

Malam itu, sekali lagi kami menikmati makan malam di restoran Kasturi. Untuk makluman, ini antara restoran Malaysia yang terdapat di Sydney. Jadi kalau anda rindukan makanan Malaysia, di sinilah tempatnya. Mungkin ramuan dan rasanya tidak sesedap makanan Malaysia, tapi kira boleh lah ...untuk pengubat rindu. Jadi, kalau anda ke Sydney, jangan lupa singgah di restoran Kasturi yang terletak di George Street, tak jauh dari Wake Up Sydney Central.

Sydney City

Hari Kelapan (28 Mei 2012)

Hari terakhir. Selepas sarapan kami terus ke lapangan terbang yang terletak kurang 15 minit dari hotel. Sekali lagi menempuh perjalanan penerbangan cukup panjang iaitu 8 jam dan dicampur tempoh transit di Singapura, hampir 10 jam. Fuhhh....kami semua tiba di KLIA dalam jam 8.00pm.

***
Oklah ... penat menulis. Disini saya nak kongsi beberapa tips dan panduan ringkas, andai kata anda semua berhajat untuk ke Sydney, Australia.

1. Pilih hotel berhampiran stesen tram atau monorail. Ia akan memudahkan perjalanan anda untuk menerokai Sydney.

2. Makanan halal ada banyak tapi ada di merata-rata. Selain itu, anda juga boleh menikmati Fish N Chip di sekitar Cockle Bay. Cubalah! Memang sedap, dimakan pula dengan Cream Sos. Memang terbaik lah!!

3. Tempat wajib pergi sekitar Sydney ialah Opera House, Mcquaries, Bondi Beach dan Pitt Street. Anda boleh menaiki bas hop off hop on.

4. Di Sydney ada juga Madame Tussauds, tapi ia tidaklah sebesar di London. Bayaran juga dikenakan jauh lebih murah berbanding di London.

5. Saya nasihatkan anda beli tiket secara Combo bagi kemasukan ke Sydney Aquarium, Wild life dan juga Madame Tussauds. Sila rujuk disini untuk keterangan lanjut.

6. Kalau anda berminat untuk membeli cenderamata, anda boleh membeli di Paddy Market. Ia terletak berhampiran China Town. Disana barangan jauh lebih murah, dan ada banyak pilihan.

7. Bagi penggemar Hard Rock, anda boleh menaiki monorail dan turun di Stesen Convention. Jarak stesen ke Hard rock adalah dalam 10 minit berjalan kaki.

8. Selain aktiviti berjalan sekitar bandar, anda juga boleh melawat Blue Mountain. Pakej ini anda boleh beli dan tempah di hotel.

9. Peminat barangan berjenama, jangan lepaskan peluang membeli belah di sekitar Pitt Street dan Kings street. Disitu terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan berjenama.

10. Untuk makluman, suhu di Sydney tidaklah sesejuk korea. Tapi anda masih memerlukan jaket tebal dan sarung tangan terutama pada musim sejuk. Long john tak perlu kecuali kalau anda memang jenis tak tahan sejuk.

Oklah sila layan gambar-gambar dibawah!

Malaysia Boleh!


Suasana di sekitar Sekolah Heathcote


Pelajar perempuan SK TTDI (1)

Berada di hadapan Hard Rock cafe


Kangaroo yang pemalas!

Buaya yang bijak!!!

My boarding pass - naik A380!!



Muaz dan rakan barunya


Syney Harbour

Me again!


Love this pic! Muaz at Bondi beach


Alhamdullilah, satu lagi impian tercapai. Kesimpulannya trip ke Australia ini memang best! Terlalu banyak pengalaman berharga yang saya tak dapat lupakan. Insyaallah..jika ada kesempatan, saya memang berhajat ingin ke Sydney sekali lagi.

Oklah jumpa lagi pada penulisan akan datang! Salam Aidilfitri buat semua!

rajaazrul

6 comments:

noraini said...

assalam...suka baca coretan anda.boleh jdkan panduan kami utk travel ke sydney...plan cuti sekolah bln 11 ni kami nk ke sana.insyaallah.tq..

Raja Azrul said...

Noraini:

Baguslah jika anda ke sana nanti. Jangan lupa untuk explore Sydney sepuas-puasnya...!!

sierra1708 said...

as'salam..saya terbaca blog saudara ni byk saya catatkn tmpat2 menarik.rasa xsabar,insyAllah minggu depan saya akan ke sana.nk tanya skit la,pelajar skttdi(1) tu students saudara ke?saya ni dr ttdi juga.btw,thanx ya...

Raja Azrul said...

Sierra

Mereka bukanlah students saya..cuma saya mengikuti lawatan sekolah mereka ke sana. Tapi sekrang mereka saya anggap seperti adik angkat saya :)

Selamat melancong ke sana!!

Azrul

Anonymous said...

Salam. Saya berada di Sydney dari 27-30 Mei 2012 sebelum ke Melbourne. Semasa rombongan saudara menikmati makan malam di Cafe Kasturi saya berada di Hotel Great Southern bersebelahan dengan restoran tersebut. Kalaulah saya turun ke restoran tersebut pada masa berkenaan tentu saya dah jumpa dan dapat berkenalan dengan saudara bersama rombongan.Semasa tarikh saudara di sana ada persembahan pesta cahaya "Vivid Sydney" setiap malam di area Circular Quay selama dua minggu termasuk di persekitaran Opera House, rombongan tak pergi ke sana ke ? Apapun catatan saudara sangat menarik dan tahniah kerana berjaya membawa rombongan murid-murid sekolah ke luar negeri..

Dari Pengembara Ciptaan Ilahi.

Raja Azrul said...

Pengembara ciptaan Illahi,

Semasa saya disana, memang susah nak bawak budak-budak ini pergi kawasan The Rocks dan Circular Quay, terutama pada waktu malam. Maklum ar budak-budak tak dibenarkan keluar pada waktu malam.

Saya ke Sydney sekali lagi November lepas, berpeluang dan melawat ke kawasan The Rocks dan menaiki cruise di sana. Apapun terima kasih kerana membaca!