Ulasan Filem : Life of Pi

Salam semua!

Apa khabar dan selamat tahun baru ! Eh belum tahun baru lagi..tapi saya yakin ramai sudah membuat perancangan untuk tahun depan. Semoga berjaya mencapai apa yang diidam.

Baiklah..dalam penulisan kali ini saya ingin membuat ulasan filem yang bertajuk" Life Of Pi'. Pada awalnya saya ingat ia cuma sekadar filem dokumentari. Tetapi ia adalah sebuah cerita yang diadaptasi dari sebuah novel yang turut menggunakan judul yang sama. Novel yang ditulis oleh Yann Martel, salah seorang penulis novel kelahiran Sepanyol.

Plot:

Filem ini berdurasi 2 jam 5 minit, menerapkan elemen drama dan aksi dalam garapannya. Filem ini diarahkan oleh Ang Lee, pengarah tersohor dari Taiwan."Life Of Pi" yang berlatarbelakangkan Pondicherry, India mengisahkan Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi. Anak lelaki kepada penjaga zoo ini banyak menghabiskan masa untuk menimba ilmu pengetahuan bukan sahaja daripada teks keagamaan, malah setiap jenis kesasteraan yang boleh memuaskan sifat ingin tahunya tentang dunia.



Walaubagaimanapun akibat perubahan politik di India menyebabkan keluarga Patel membuat keputusan untuk berpindah ke Kanada. Namun satu kejadian tidak disangka berlaku dan satu ketika, Pi mendapati dirinya berada di dalam bot penyelamat bersama kuda belang, orang utan dan juga harimau Royal Bengal seberat 450 paun bernama Richard Parker.

Searakian itulah, perjalanan penuh ranjau Pi bermula. Bayangkan dia terpaksa hidup bersama dengan seekor Harimau yang kelaparan. Ini adalah kekuatan plot cerita ini. Bagi saya, adaptasinya memang kemas. Mudah difahami dan tidak meleret. Perjalanan cerita ini tidak perlahan ( maknanya anda tidak akan bosan di dalam wayang). 80% set filem ini adalah di atas laut. Manakala selebihnya dibuat di India dan Canada. Filem ini menggunakan teknik imbas kembali, juga menceritakan kisah hidup Pi semasa kanak-kanak dan ketika dia mula merasakan cinta pertamanya.

Lakonan:

Filem ini menggunakan pelakon dari India. Walau pun begitu ia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam filem ini. Sama seperti filem Slumdog Millionaire. Suraj Sharma sebagai Pi sangat menjadi. Bagaimana dia terpaksa melakonkan watak yang cukup mencabar, sebagai seorang yang terdampat di tengah lautan pasific dan terpaksa menahan lapar selama berminggu-minggu. Suraj juga berjaya melakonkan watak Pi dengan baik terutama ketika babak dia berkomunikasi dengan Harimau.

Watak lain turut menarik perhatian saya ialah Gita Patel lakonan Tabu. Gita merupakan ibu kepada Suraj. Mungkin karektornya tidak banyak tapi ia berkesan dalam membawakan watak seorang ibu yang sangat sayangkan anaknya. Kredit juga diberikan kepada watak Santosh Patel, Anandi dan Ravi Patel. Ringkasan, lakonan dalam filem ini tidak mengecewakan.

Teknikal;
Walaupun diadaptasi dari novel, Ang Lee juga membawa magis kepada filem ini. Dengan menggunakan kesan khas yang cukup mengagumkan, Lee cuba membawa penonton mengembara bersama -sama dengan Pi. Di sini anda akan dapat melihat sendiri Lee bermain kesan khas semasa ribut petir, ikan paus, ikan terbang, meerat dan macam-macam lagi. Menggunakan teknik CGI yang cukup berkesan, pujian melambung harus diberikan kepada Lee. Saya rasa seolah menonton filem Avatar, bezanya ia mengambil set di lautan Pasifik, lautan terbesar di dunia. 

Teknikal juga amat berkesan dalam menjelmakan watak harimau dan binatang lain semasa kapal dinaiki oleh Pi karam. Memang nampak sangat semulajadi, kerana logik akal tidak mungkin Lee akan menggunakan seekor Harimau benar untuk berlakon dengan Suraj di atas bot dan ditengah lautan pasifik. 

Kesimpulan:
Saya rangkumkan filem ini wajib ditonton. Ia mudah difahami, dan filem ini mempunyai mesej yan tersirat terutama berkait rapat dengan perjalanan hidup kita sebagai manusia. Dengan efek dan lakonan berkesan, saya rasakan filem ini mungkin akan tercalon dalam Academy Awards pada tahun hadapan. Dengan semangat filem Asia ( pengarah dan pelakon dari Asia), saya sangat sarankan kepada anda semua untuk menonton filem ini. 

Selamat menonton!
rajaazrul







Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...