Ulasan : Dibawah Lindungan Kaabah (teater)

Salam semua,



Sudah lama saya tidak memberikan ulasan kepada persembahan teater. Maklumlah sudah lama meninggalkan alam teater. Dalam tahun 2013, sempat juga saya menonton beberapa naskah teater. Tapi untuk tahun 2014, saya berkesempatan menonton satu naskah teater yang berjudul Dibawah Lindungan Kaabah (DBLK) di Istana Budaya pada 10 Mei 2014 lepas.

# komen dan ulasan ini adalah berdasarkan pandangan kecil saya sebagai penonton. Bukan berniat memperkecilkan usaha mana-mana pihak.

Pengenalan:

Dibawah Lindungan Kaabah merupakah novel yang ditulis oleh penulis terkenal Indonesia iaitu Allahyarham Hamka Saya pernah menonton filem DBLK yang diterbitkan oleh produksi Indonesia (trailer dibawah). Mungkin disebabkan kekuatan karya ini, menyebabkan CTRA Production (dibawah terbitan Siti Rohayah Atan) cuba mengadaptasi karya ini di atas pentas yang lebih besar.

Teater berdurasi  2 jam 30 minit mula dipentaskan pada tarikh 9 - 18 Mei 2014. Ia diarahkan oleh Rosminah Tahir, pengarah teater yang cukup berkaliber. Teater ini dilakonkan oleh Nasha Aziz, Adi putra, Elfira Loy, Fizo Omar dan ramai lagi. Secara kasarnya, nama-nama pelakon teater ini memang cukup popular. Mereka memang gah di television atau dipanggung wayang. Namun tidak semua antara mereka pernah beraksi di pentas teater (saya akan komen dibawah mengenai lakonan)

Menjadi tanda tanya, mengapa penerbit begitu berani mengambil suatu karya yang kuat tidak popular dalam kalangan penonton Malaysia. Jika saya menjadi penerbit, saya lebih tertarik mengambil naskah popular seperti Ayat-ayat Cinta atau Ketika Cinta Bertasbih. Naskah ini lebih dikenali dan boleh menjadi lebih kuat impaknya jika ia dipentaskan di panggung Sari. Saya yakin penerbit mempunyai jawapan yang kuat dalam menerbitkan teater bersifat islamik ini. Mungkin disebabkan itu juga CTRA menggunakan pelakon terkenal sebagai rencah utama dalam teater ini.


Sinopsis.

DBLK mengisahkan perjalanan hidup Hamid dan Zainab yang berkorban cinta sebab kekangan adat dan latar kehidupan mereka. Hamid anak miskin yang kamatian ayah dijadikan anak angkat oleh Engku Jaffar. Dia membesar bersama anak lelaki itu Zainab.

Bila meningkat remaja mereka saling jatuh cinta tapi hanya dipendamkan sahaja kerana batasan. Hamid sedar diri manakala Zainab pula harus patuh kepada adat keluarga bangsawan yang menentukan jodoh dengan kerabat untuk menjaga status quo.

Hamid kemudian belajar di Padang Panjang dan bersahabat dengan Salleh. Selepas Engku Jaffar meninggal Hamid tak pernah jumpa Zainab. Ibu Zaina, Asiah menjemput Hamid ke rumah kerana mahu dia memujuk Zainab bersetuju kahwin dengan sepupunya.


Adaptasi:

Ia merupakan naskah adaptasi, jadi saya boleh katakan ia memang lari dengan filem DBLK. Saya amat faham naskah adapatsi cuma mengambil ramuan utama sahaja. Jadi ada beberapa karektor asal tidak ada dalam teater ini. Namun begitu, adaptasi yang terlari dari landasan juga boleh merencatkan pemahaman penonton. Adaptasi yang baik harus disulam dengan kemas dan tidak meleret. Seperti teater Puteri Gunung Ledang atau "Lion King". Ringkas tapi dalamannya kuat.

Plot: 

Permulaan cerita/teater dimulakan dengan tarian Sufi amat mengujakan. Ditambah pula dengan petikan gambus membuatkan penonton seperti berada di Timur Tengah. Plot awal bermula dengan baik. Konsep tarian Randai yang merupakan salah satu budaya Minang dibuat dengan cukup kemas. Jadi serba sedikit penonton faham bahawa plot ini bermula di sebuah perkampungan di Padang, Indonesia.

Peralihan plot dari zaman ke zaman sebenarnya tidaklah begitu kemas. Ada masa sedikit membosankan malah membuatkan orang tertidur. Mungkin ia tidak selari dengan props dan muzik. Plot beralih dengan nada perlahan. Ada babak meleret-leret sehingga tidak ada arah tuju. Pengarah cuba membuat kaedah imbas kembali, dimana Hamdan mengimbau kenangan dia bersama Zainab sewaktu kecil dan remaja. Tapi bagi saya kaedah plot itu tidak cukup kemas. Penonton tidak faham, apa yang berlaku sebenarnya.

Props berlatarkan Padang tahun 1920an. Tetapi ia tidak nampak seperti keadaan Padang dahulu kala. Suasana kampung seperti zaman moden. Jadi ia turut menambahkan kekeliruan di kalangan penonton. Babak terbaik yang saya suka ialah kaedah imbas kembali Zainab dewasa dan babak tuan (zahid) bersama pemain gambus. Terbaik!




Lakonan:

Asas teater adalah lakonan. Tidak kiralah ia muzikal, drama tari, dekon... asasnya tetap lakonan. Sebagai pengarah, memilih pelakon terbaik dan dedikasi amatlah penting. Bagi saya memilih Nasha Aziz sebagai pelakon utama adalah baik (walaupun tidak tepat). Nasha berjaya mencabar dirinya menjadi Zainab - karektor gadis kampung yang amat memimati Hamid. Namun, wataknya tidak dikembangkan dengan baik. Nasha masuk dalam keadaan dia sudah merindui Hamid. Ia tidak selari dengan watak Zainab remaja lakonan Elfira Loy.

Jujur saya kata pemilihan pelakon untuk DBLK banyak yang tidak tepat. Pengarah cuba membuat peralihan zaman dalam setiap plot cerita ini, namun pemilihan pelakon yang tidak tepat menyebabkan plot sedikit pelik. Contohnya Elfira Loy (Zainab remaja) menjadi Nasha Aziz (Zainab Dewasa). Tubuh badan Elfira Loy rendah, Nasha tinggi..sedikit janggal. Begitu juga Dayana (rosnah Remaja) kepada Yasmin Hani (Rosnah Dewasa). Dayana tinggi, Yasmin Hani rendah. Walaupun remeh, ia boleh mencacatkan mutu teater DBLK ini.

Lakonan Elfira bagi saya sangat ke laut. Wataknya sedikit tergedik, berlainan pula dengan watak yang dibawa oleh Nasha, yang penuh emosi. Begitu juga dengan Dafi (Salleh remaja) yang nampak terkinja - kinja dalam memikat Rosnah, tetapi berbeza karektor dibawa oleh Fizo (salleh dewasa). Membuat teater mempunyai elemen dua zaman ini bukan mudah. Karektor harus lah selari. Andai kata Zainab seorang perempuan pendiam, maka sehingga dewasa ia masih pendiam. Bagi saya, jelas saya tidak nampak Elfira dan Nasha (dalam lakonan) adalah orang yang sama.

Lakonan agak mengecewakan dibawa oleh Alina Hassan. Ibu Hamid merupakan teras utama dalam teater ini. Lakonan Alina tidak nampak seperti wanita miskin. Dia tidak berjaya menghayati watak dengan baik. Paling gagal sewaktu melakonkan babak dia meninggal dunia. Nasib baik ada muzik yang menyedihkan yang membangkitkan suasana suram ketika babak tersebut.

Watak utama Adi Putra & Fizo bagi saya biasa sahaja. Tidak hebat mana. Saya masih kabur, Hamid ini bagaimana orang nya.. berilmu? Kuat mengaji? gagah? Masih tidak jelas. Wataknya tidak seperti Hamid dalam filem. Namun ia tidaklah mencacatkan keseluruhan cerita. Kesimpulan tentang lakonan, kebanyakan pelakon nampak tidak cukup latihan semasa pementasan. Mereka seolah-olah tidak membuat kajian terperinci mengenai karektor yang dibawa.

Andai kata saya pengarah, saya akan pilih pelakon yang betul betul sesuai. Saya tidak akan wujudkan watak Zainab dan Hamid remaja, sebaliknya saya mengekalkan pelakon sama supaya penontin dapat merasakan kewujudan kuasa cinta antara mereka berdua. Pelakon saya rasa layak memegang watak Hamid ialah Beto Kusairi atau Zahiril Adzim. Jika watak Zainab saya akan pilih Tiz Zaqyah, Diana Amir atau Fazura. Untuk watak ibu, saya akan ambil Ogy Ahmad Daud atau Ellie Suriati. Pelakon-pelakon lain yang saya akan masukkan adalah Wan Hanafi Su (Bapa Zainab), Erma Fatima (Ibu Zainab), Nadiya Nissa (Rosnah) dan Remy Ishak/Johan Asari (Salleh).

Hanya satu sahaja lakonan yang saya puji.. Tuan (Zahid). Mungkin sebab lakonanya bersahaja dan suaranya sedap (alaa..dia memang penyanyi pun).

Props, tarian dan teknikal:


Props bagi saya tidak ada unsur mengagumkan. Pakaian?? Tudung?? Sangat tidak sesuai. Adakah waktu Padang 1930an, wanita di sana memakai tudung mahal. Semua orang tahu tudung rasmi teater ini adalah dibawah Fareeda, namun ia haruslah bersesuaian dengan cerita asal teater ini. Saya rasa semua pelakon wanita kecuali Alina Hassan tidak memakai tudung. Jadi, mereka boleh sahaja gunakan tudung letak atau selendang bagi mengambarkan keadaan zaman dulu (macam Kuza dalam filem Balada).

Props digunakan terlalu banyak, kadang-kadang merimaskan. Mungkin nak mengambarkan situasi kampung, tapi seperti tak kena pada tempatnya. Cuma babak akhir melibatkan kaabah agak menjadi, sama seperti suasana pada musim haji. Mungkin saya boleh bagi pujian watak-watak yang lalu lalang kerana lebih hidup berbanding dengan watak utama :)

Tarian dan muzik adalah bonus kepada teater ini. Terima kasih kepada Pak Ngah berjaya menghasilkan muzik yang cukup menarik. Bersesuaian dengan konsep Minang dan Timur Tengah. Walaupun ia bukan teater Muzikal, dengan adanya muzik yang sesuai, teater ini mampu hidup dengan baik sepanjang pementasan.Tarian (walaupun saya bukan pakar), memang terbaik! Kemas, dan hampir sempurna. Tahniah kepada Aris Kadir kerana membuat kajian terperinci mengenai latar cerita ini. Dia tahu Randai berasal dari Padang, tarian Sufi berasal dari Turki. Gabungan ini menjadi. Sedikit sebanyak penonton dapat mengetahui tarian Randai dalam teater ini.

Konsep:

Asas cerita ini adalah sebuah teater berkonsep islamik. Benar, ada ayat Al Quran, pelakon memakai tudung, dan paling penting ada Kaabah. Tapi adakah ia benar-benar mengambarkan islamik? Saya rasa teater perlu ada juga skrip berlandaskan hadis, gabungan bahasa Arab (ketika di Mekah) dan juga bahasa melayu. Contoh terbaik teater islamik adalah Sirah Junjungan, arahan Erma Fatimah.

Watak Hamid tidak nampak dia seorang berilmu, cuma nampak "islam" sebab memakai jubah dan serban.  Hamid boleh diwujudkan dengan seorang yang berilmu, seperti menuturkan kata-kata pujangga, mengaitkan konsep Cinta dalam Islam, mengajar kanak-kanak mengaji dan pelbagai lagi.



Penutup:

Teater ini sebenarnya mempunyai kekuatan tersendiri. Andai kata ia dibuat dengan lebih kemas, ia mampu menjadi satu teater islamik contoh kepada semua pihak. Jika lakonan mantap, ditambah dengan babak yang ringkas dan padat, percayalah ia mampu menjadi teater yang terbaik. Benar, ada penonton mengalir air mata diakhir cerita, tapi ia boleh menjadi lagi kuat jika pelakon sama  dikekalkan dari awal (remaja ke dewasa).

Babak kematian ibu Hamid boleh menjadi kekuatan dalam teater ini, andai kata pengarah menunjukkan lagi kasih sayang ibu Hamid terhadap Hamid. Dan semestinya harus disulam dengan pelakon yang berbakat.

Dasarnya, teater ini memang berkonsep teaterikal, sama seperti teater berskala kecil yang dipentaskan di Aswara, Panggung DBKL atau Actor Studio. Ia memerlukan kerjasama dan kefahaman penonton. Saya tertarik dengan skrip yang ditulis terutama semasa watak Zainab & Rosnah dewasa. Kesimpulannya, teater ini masih menarik untuk ditonton, dan ia tidaklah mengecewakan sangat. Mungkin banyak kelemahan boleh diperbaiki, namun saya harapkan jika pihak produksi ingin menerbitkan kembali, terbitlah ia dengan tertib. Insyaallah ia mampu menjadi fenomena dalam dunia teater dan kelas tersendiri.


Akhir kata " Ya Allah, jadikan aku tetamu mu ... "

# harap-harap lepas ini dapat terbitkan "Bonang" di Istana budaya. Aminn... (puji karya sendiri..hehe).



Rating keseluruhan : 2.5*
Lakonan : 2.5*
Props : 2 *
Muzik : 4*
Teknikal : 3.5*
Tarian : 4*
Skrip : 3.5*
Plot : 2.5*



Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...