Ulasan teater : Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Salam semua,


# Ulasan saya hanya sekadar dari pandangan penonton. Saya bukanlah orang yang aktif berteater apatah lagi menjadikan teater ini sebagai sumber kerjaya saya. Semoga pandangan kecil ini mampu menjadikan industri teater kita lebih baik lagi.

#maaf juga andai kata ulasan ini agak lambat keluar disebabkan kekangan masa.

Pengenalan:

Keberanian CTRA production membuat teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck (TKVDW) ini adalah satu usaha yang sangat mencabar. Saya sendiri menonton teater ini pada tarikh 13 Oktober, hari kedua tayangan. Nampak gaya CTRA sudah selesa dalam menerbitkan naskah dari penulis terkenal, Hamka. Keberanian ini juga saya lihat seperti satu beban. Dua faktor - kekuatan cerita TKVDW, dan penonton yang menonton rata-rata peminat filem asli TKVDW yang dilakokan oleh Herjunot Ali (Indonesia).

Teater ini mula dipentaskan pada 12 Oktober 2015, membariskan pelakon-pelakon baru dan lama seperti Amar Bahrin, Nabila Huda, Amyra Rosli, Karl Syafiq dan ramai lagi. Ia turut disokong dengan krew teknikal dan penari-penari khas Istana budaya. Teater ini mendapat sentuhan dari pengarah muda - Azhar Zainal.

Pada awal poster ini dikeluarkan, saya masih tertanya-tanya mengapa CTRA begitu berani mengambil karya yang cukup kuat ini? Bukan meragui kepakaran mereka, cuma ia akan menjadi beban disebabkan peminat pasti akan membandingkan teater ini dengan filem yang pernah diterbitkan oleh Sunil Suraya ini. Saya sendiri juga pernah menimbulkan komen kepada CTRA di dalam Facebook, adakah mereka mampu membawa karya kuat ini ke pentas bertaraf dunia? Jawapan mereka sudah pastilah YA.

Tidak menjadi kesalahan untuk mengambil mana-mana naskah untuk dipentaskan. Apatah lagi mencedok acuan filem untuk dibawa ke pentas teater. Namun ia memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Setiap inci terutama daripada skrip, watak, props, pakaian sehinggalah pelakon perlu diperhalusi agak karya agung ini benar-benar layak digelar "wow" oleh penonton. Sunil sendiri mengambil masa 5 tahun dalam mengkaji setiap mukasurat karya Hamka ini termasuk memilih pelakon terbaik untuk menjayakan filem ini. Tetapi adakah CTRA mengambil inisiatif yang sama. Semua terjawab dalam penelitian saya sebagai penonton teater ini.

Plot & Skrip

Tayangan bermula sedikit lewat sebenarnya sudah mula menjadikan penonton sedikit resah. Permulaan cerita agak "baik" dengan menggunakan kaedah "prologue" yang lazimnya dibuat dalam novel-novel melayu pada masa kini. Babak awal memperlihatkan Hayati (Nabila) menaiki kapal TKWDV dan meninggalkan surat buat Zainuddin kepada Muluk (Syarul Ridwan).

Perubahan babak ke babak mula menjadi lembap dan meleret. Nampak agak bosan terutama dialog berjela-jela yang tidak dapat dihayati oleh penonton. Ada masa saya sendiri hampir tertidur mungkin disebabkan karektor yang dibawa oleh pelakon tidak meninggalkan kesan kepada saya. Plot secara amnya masih baik, cuma meleret-leret. Ada babak tak perlu seperti babak Khadijah (Amyra) bersama ibunya (Liza Abdullah). Mungkin penulis harusnya merombak skrip dan menjadikan ia singkat, ringkas dan padat. Watak-watak terlalu banyak juga menjadikan teater ini meleret. Hasilnya banyak sangat babak, props yang terlibat serta menganggu perubahan plot.

Jika dilihat kepada naskah asal, Zainudin berada di Padang, Jakarta (betawi) dan Surabaya. Tetapi tidak nampak apa yang menarik pun di sini. Suasana Padang tidak mencerminkan Padang, apatah lagi Jakarta dan Surabaya. Mungkin dialek diucapkan tidak menampakkan babak tersebut di buat di Indonesia.

Skrip teater ini bagi saya hanyalah mencedok idea yang dibuat daripada filem asal. Kadang terlalu meleret, tak perlu malah tak sesuai. Kasihan saya melihat pelakon-pelakon terpaksa menghafal skrip berjela-jela. Mungkin Azhar berusaha untuk memelayukan teater ini, namun bagi saya ia tidak kena. Seharusnya skrip ini dibuat berlandaskan buku, dengan mengambil perkara-perkara pokok sahaja. Tidak perlu meleret, tetapi ia haruslah kuat. Kuat bermaksud setara dengan lakonan dan emosi yang berkesan.


Lakonan:
Menyentuh dari sudut lakonan, saya merasakan pengarah begitu berani dalam mempertaruhkan Amar sebagai Zainuddin. Bukan mengatakan Amar tidak pandai berlakon, cuma ia mungkin belum sesuai memegang watak sekuat Zainuddin. Ia bukan mudah kerana Zaindudin perlu bermain dengan emosi dan perasaan.

Bagi saya, Amar nampak berusaha memahami watak Zainudin, cuma ia gagal. Secara kasar penonton tetap membandingkan watak Zainudin dibawa oleh Herjunot Ali di dalam filem. Nabila pula mempunyai kelebihan dalam teater ini. Saya rasa ia juga pilihan tepat walaupun ada babak-babak dilakokan oleh anak kepada penyanyi Amy Search ini kurang menyengat. Cuma gandingan dia bersama Amar nampak seperti kakak dan adik.

Lakonan yang sedikit mengecewakan saya ialah  Karl, Syahrul, Liza & Amyra Rosli. Karl - menggalas tanggungjawab sebagai Uda Aziz, karektor paling besar dan kuat sekali nampak gaya gagal menggalas watak dengan sempurna. Watak Uda memerlukan dia seorang lelaki yang ego, macho, dan kaya, tapi gagal diterjemahkan oleh Karl. Syahrul dan Liza pula kelihatan menghafal skrip. Tersangkut sangkut. Apatah lagi Syahrul terpaksa menghafal skrip yang berjela-jela (lumrah untuk teater). Amyra pula cuba membawa diri dia dalam watak Khadijah seolah-olah berada dalam dunia sendiri. Dia cuba membuktikan bahawa dia berbakat - walaupun tindakan beliau menampakkan dia "overshadow" watak Hayati. Dialek dibawa oleh Amyra kedengaran Indonesia sedangkan watak-watak lain tidak menggunakan dialek yang sama - p/s tuk pengarah.

Watak sokongan yang lain hanyalah sokongan sahaja. Ada yang baik ada yang biasa sahaja. Kadang- kadang saya lihat watak-watak dibawa penari lebih sudu dari kuah. Mungkin nak mengumpan penonton agaknya :)

Kesan khas

Dibuat pentas bertaraf dunia, maka kesan khas perlu diangkat terutama dalam karya 5 bintang Hamka ini. Namun, kesan khas dimainkan sama sahaja saya menonton sebuah teater di Panggung bandaraya & The Actor Studio Bangsar. Kesan khas dibawa ada yang bagus namun ada yang ke laut. Peralihan babak bagi saya masih sempurna dan tidak lama.

Pujian saya berikan kepada kostum Padang walaupun ia tidak sempurna. Tapi saya suka kostum yang dipakai oleh Nabila. Sangat menepati citarasa pada zaman 1920 an.  Lagu-lagu bagi saya tidak begitu menarik seperti Lindungan Kaabah. Tidak ada pun tidak mengapa. Tarian? Saya tak boleh sangkal, memang kemas dan terbaik! - saya tak pandai menari
 

Kesimpulan:


Bagi saya, keberanian CTRA memang saya puji, namun untuk menghasilkan teater daripada skrip yang kuat perlu masa. Tidak perlu terburu-buru. Gali setiap karektor, lihat kepada pasaran dan saya jamin ia boleh menjadi teater yang kuat. Sedangkan filem TKVDW pun memerlukan masa 5 tahun untuk dihasilkan, apatah lagi teater. Jika saya menjadi pengarah, mungkin saya akan memilih pelakon yang pandai berlakon ( bukan baru nak berlakon). Tumpuan saya pada lakonan dan skrip. Saya juga wajibkan pelakon membaca novel asal - dalam memahami karektor dan tambah ilmu pada kelas lakonan.

Adakah berbaloi? Jika tanya saya secara jujur, tidak berbaloi untuk harga tiket dengan pementasan ini. Apa-apapun tahniah atas kejayaan pementasan ini pada Oktober lepas.

rajaazrul

Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...