Travel

Travel

Mengira detik

Saturday, February 06, 2016

Ulasan Filem : Ola Bola

Salam manis buat para pembaca,

Saya amat jarang menonton filem melayu di wayang (maksud di sini, filem mempunyai skrip dalam Bahasa Melayu, buatan anak tempatan). Kali terakhir bila ya? Saya pun tak berapa nak ingat. Malah, saya juga jarang menonton wayang, mungkin faktor masa dan juga usia ..cewah.

Entah kenapa, terdapat magnet yang cukup kuat untuk saya menonton filem ini. Bayangkan tidak pernah saya sanggup berbelanja untuk menonton filem di GSC dengan sistem Dolby Atmos (untuk pengetahuan - Atmos merupakan sistem bunyi terbaru di GSC, dan harganya mahal berbanding wayang biasa). Tetapi untuk filem Ola Bola, saya membenarkan segalanya. Malah saya sanggup untuk menonton seorang diri jika tiada rakan yang mahu teman - nasib baik ada rakan yang nak teman.

Ola Bola - judulnya tidak lah cukup kuat diangkat karya komersil, tetapi setelah saya menonton trailer, terus saya jatuh hati dan meletakkan matlamat yang saya nak menonton filem ini. Alhamdulillah, impian tercapai - saya menontonnya di GSC Quill Mall, pada jam 9.50pm - hari kedua selepas tayangan pertama. Baiklah saya nak komen secara ringkas, padat mengenai filem yang diarahkan oleh Chiu ini.

Pengenalan:

Apa itu filem Malaysia ? Lazimnya kita akan cakap kisah 3 kaum utama dalam satu filem. Betul kan? Formula filem Malaysia bukanlah sesuatu yang baru. Yasmin Ahmad banyak menggunakan formula ini dalam karyanya seperti Sepet, Gubra dan Talentime. Manakala filem lain seperti Crayon (Dean Burhanuddin), 29 Feb (KRU studio),  Paloh (Adman Salleh) juga menggunakan konsep sama.  Jadi, terhasilnya filem Ola Bola, bukanlah sesuatu yang baru, malah konsep ini sebenarnya sudah lali dalam rakyat Malaysia. Tapi apa keistimewaan filem ini?

"Cukup rencah, almost perfect" itu yang saya boleh katakan. Walaupun filem ini menggunakan formula Malaysia, dengan meletakkan bola sebagai subjek utama adalah sesuatu yang bijak. Asasnya disini, sukan menyatukan kita. Perkara ini memang tidak dinafikan. Jadi Chiu telah mengambil risiko yang besar, menggunakan kisah benar perjalanan skuad Malaysia ke Sukan Olimpik 1980, dan pastinya cabaran menghasilkan filem ini bukan mudah.

Selain itu, filem bertemakan bola bukanlah sesuatu yang menarik perhatian sangat bagi penonton. Terutama bagi penonton yang tidak minat bola. Risiko ini pernah dibuat oleh Saw Teong Hin dalm Filem Jejak Warrior, dan United (James Strong)

Plot:


Plot cerita ini menggunakan kaedah "imbas kembali" , dimana penonton dibawa kembali ke tahun 1980 semasa skuad Malaysia mengalami pelbagai masalah dalaman ketika kelayakan olimpik Moscow. Plot dibawa cukup kemas, malah sebagai penonton, anda tidak akan rasa bosan, kerana fasa berubah dalam keadaan yang cepat dan tidak mendatar.

Ia juga sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Saya yakin agak sukar untuk menguap kerana setiap plot dibuat dengan begitu kemas sekali (saya pernah tertidur menonton filem Mission Impossible 2015)

Pada mulanya saya sangkakan filem ini banyak menggunakan Bahasa Inggeris - seperti filem Yasmin Ahmad, tetapi tanggapan saya meleset. Filem ini menggunakan 60% Bahasa Melayu, rata-rata yang berlakon menggunakan Bahasa Melayu begitu baik dan fasih. Tabik dan tahniah! Filem ini turut menggunakan Bahasa Cina (Mandarin), Tamil dan Inggeris. Memang anak Malaysia laa..

Latar/props


Menggunakan latar awal 80an sebenarnya sesuatu yang sukar. Apatah lagi jika nak buat filem bercorak sejarah, dan di Kuala Lumpur. Tapi pengarah bijak dan saya tabik kerana team mereka membuat kajian terperinci dari segi stadium, bilik persalinan, rumah, asrama...semua dibuat begitu teliti.

Anda akan rasa berada di zaman Jamal Abdillah dan Alleycats, melihat fesyen yang digayakan oleh pelakon. Malah gaya bahasa, lenggok sehinggalah cara percakapan semuanya dibuat seperti tahun 80an (walaupun saya belum lahir). Paling Wow, sebab ada fun fair... dan kalau lihat pada botol minuman sehinggalah ke duit digunakan, semua nya klasik ... (tahniah kerana buat kajian).

Paling saya tabik..setiap penonton yang datang memakai fesyen 80an, malah kereta yang melintas Tauke ketika menunggang motor juga adalah kereta jenis Nissan Sunny old fashion (kalau tak salah).

Lakonan:


Tidak menggunakan nama besar, malah boleh saya katakan saya hanya kenal Bront Palare sahaja dalam filem ini, ternyata tidak sia-sia. Lakonan memang superb! Saya boleh puji kesemua pelakon termasuklah JC Chee , Luqman Hafidz dan Saran Kumar. Kesemuanya all out. Lakonan mereka semulajadi, tidak dibuat-buat dan paling penting tidak bajet macho hehehe. Tak mustahil mereka boleh tercalon sebagai pelakon terbaik Festival Filem Malaysia.

Saya suka dengan watak Chai (tak pasti siapa berlakon), wataknya bersahaja..Bahasa Melayu nya mengingatkan saya pada cara David Teo bercakap. Selain itu watak -watak lain saya boleh katakan sempurna - termasuklah yang jadi guard tu :) Kemunculan Dato Rahim Razali sedikit sebanyak memberikan impak dan juga penghargaan buat beliau - kerana sumbangan beliau yang cukup besar dalam bidang sukan tanah air. Tahniah pengarah!


Teknikal:

Filem Malaysia pertama ditayangkan menggunakan kesan Atmos! Ternyata berbaloi. Kesan khas, sinematographic dan muzik semua cukup rencah. Kena dengan mood dan lakonan. Walaupun saya yakin mereka menggunakan teknik CGI, tapi ia tidak ketara (tak nampak sangat komputer) seperti filem 29 Febuari - filem KRU - maaf KRU yer!

Muzik latar juga cukup kena - saya suka lagu Arena Cahaya yang dinyanyikan oleh Zee Avi. Memang kena pada tempatnya. Mungkin lagu ini boleh masuk AJL ..?

Semasa babak di stadium Merdeka, saya juga pelik bagaimana team teknikal boleh hilangkan bangunan sekelilingnya...terutama bangunan pencakar langit. Hebatlah teknologi sekarang. Tiada yang mustahil.

Ringkasan:


Terlalu banyak nilai positif dalam filem ini. Dari segi nilai perpaduan, persahabatan, patriotik..kasih sayang, kekeluargaan.... Ia juga membuatkan saya berfikir bagaimana generasi dulu begitu bersusah payah demi keluarga, terpaksa berkorban untuk sesuatu ..dan hasilnya...? Hasil yang kita dapat pada hari ini.

Filem ini juga mengimbas kembali zaman kanak-kanak seperti bermain bola guna kad, kena tarik telinga dengan ayah (ni selalu saya kena dulu) dan jolok antena semata-mata nak dapatkan siaran tv. Aduhai sangat mengimbau kenangan.

Saya tabik spring pada filem ini! Buat Chiu dan team Ola Bola, teruskan hasilkan filem terbaik seperti ini...jika tidak genre Bola sebagai subjek, mungkin tema-tema lain pula. Selepas ini nama Chiu akan setaraf dengan pengarah terbaik Malaysia seperti Saw Teong Hin, Mamat Khalid, Yasmin Ahmad, Mahadi J Murat dan ramai lagi. Saya yakin filem ini akan membolot anugerah utama di festival filem Malaysia, dan tak mustahil juga festival filem antarabangsa.

Rating : 4.8 * ( almost perfect)




2 comments:

Melody M. said...

Setuju dengan komen ko. Antara filem malaysia yg ada sekarang yg aku boleh katakan dalam kategori "wajib tonton". Sarat dengan mesej tapi pada masa yang sama menghiburkan. Thumbs up! Aku 2x tengok di pawagam hehe dan tak mustahil jika ada orang ajak aku ulang tonton lagi, aku mungkin sudi.

P/s: Selalu silent reader setahun dua ni, tapi sebab aku suka sangat Ola Bola, so aku muncul kembali. Hehehhe. Bila nak hangout ni weh!

Raja Azrul said...

@melody

Tulah taktau laa..padahal masing2 duduk dekat je. Bukan jauh benar. Azwan belum tengok lagi filem ini, puas gak nak ajak dia..tapi dia pun sibuk gak. Insyaallah ada rezeki nak mai Kuching.