Jalan - Jalan : Corrboree Asia (Perth & Western Australia ) 2016

Alhamdulillah,

4 ke 13 September 2016

Saya diberi satu peluang keemasan (yang tak mungkin saya lepaskan), terpilih dalam kalangan agensi di Malaysia bagi menghadiri program Corroboree Asia , bertempat di Perth, Australia. Program berlangsung selama 5 hari diikuti dengan lawatan khas dianjurkan oleh Tourism Australia meliputi kawasan South Western Australia. Kembara program ini bertujuan memperkenalkan produk Australia, dan ia merupakan salah satu program " Aussie Specialist".

Program Corroboree ini sebenarnya menghimpunkan Aussie Specialist dari seluruh Asia termasuklah China, Korea Selatan, Jepun, India, Indonesia dan banyak lagi. Malaysia diwakili 15 orang dari agensi pelancongan termasuklah saya sendiri - wakil tunggal Melayu dan beragama Islam. Walau begitu, saya rasakan kami seperti satu pasukan dan keluarga, bergerak dalam semangat 1 Malaysia.

Corroboree Asia 


Sekali lagi, saya kembali ke bumi Perth setelah hampir 1 tahun tidak kembali. Perth masih sama - cuaca yang nyaman, bandar hampir "mati" dan suasana tenang yang tidak mungkin saya dapat kalau berada di Malaysia. Untuk pengetahuan, saya baru sahaja pulang dari Melbourne - atas urusan kerja, tidak sampai  seminggu, saya kembali ke Bumi Kangaroo ini. Alhamdulillah, boleh la saya gunakan duit dollar yang masih berbaki.

Ketibaan kami di lapangan terbang disambut oleh wakil Corroboree Asia. Oh ya, rombangan kami diketuai oleh wakil Tourism Australia - Cik Huey Chin, seorang ketua yang sangat fleksible. Terima kasih Huey! Rombongan kami turut dibantu oleh Cik Suzanne - wakil pegawai Western Australia yang berpengkalan di Singapura. 


Kami menginap di hotel Four Pointss By Sheraton, yang terletak berhampiran dengan Perth Arena. Hotel ini tidak jauh dari pusat bandar, hanya 10 minit berjalan kaki. Untuk program ini, terdapat 3 hotel yang menaja penginapan iaitu Four Point, Pan Pacific dan Crown Tower ( ini agak jauh sedikit  dari bandar). 

Lawatan Pengenalan - Rottnest ( 5 September 2016)



Quakka







Program bermula dengan lawatan pengenalan pada 5 September 2016. Kami semua ke Rottnest Island - yang turut dikenali sebagai Taman Permainan bagi orang Perth. Pulau yang dijaga 100% oleh Kerajaan Australia ini terletak lebih kurang 1 jam menaiki feri dari Elizabeth Quay. Rottnest Island memang pulau yang cantik! Saya tidak boleh nafikan ia. Kenapa? Ia bukan sahaja mempunyai pantai yang memukau, malah tarikah utamanya iala Quakka - sejenis mamalia menyerupai tikus besar yang banyak terdapat di pulau ini. 

Menariknya, Quakka hanya terdapat di Rottnest sahaja. Ada juga mengatakan nama Rottnest diambil dari perkataan RAT (merujuk kepada Quokka) dan nest - sarang. Betul atau tidak saya tidak pasti. Anda boleh mengeliling pulau Rottnest dengan menaiki bas khas atau berbasikal atau berjalan kaki. Apa aktiviti lain selain pantai - tak mungkin sebab masih sejuk? 

Tahniah Rottnest! Wajib pergi
SEGWAY!! Terima kasih kerana memberikan saya peluang mencuba sejenis permainan yang cukup mengujakan! Bagi mereka yang tak tahu, segway ini sejenis alat yang membolehkan kita bergerak menggunakan motor khas, dan untuk mengawalnya, anda hanya perlu menggunakan kaki.
Dah ready ni!

Kami belajar bagaimana menggunakan segway dan melalui beberapa kawasan - ia satu pengalaman yang cukup unik! Tidak terlintas dalam hidup saya ingin mencubanya! Segway ini memerlukan kita fokus dan pandai mengawal keseimbangan badan. Jangan risau! Ia tidak bahaya. Satu taklimat khas akan diberi sebelum anda menggunakan segway.

Ini lah bandar Perth
Pada sebelah malam - Welcome Dinner dibuat di Elizabeth Quay, yang baru siap dibina pada awal tahun ini. Makan malam sambil menikmati pemandangan indah bandaraya Perth. Pada majlis inilah kami semua bertemu dengan agensi pelancongan dari seluruh Asia. Berhimpun di bawah satu bumbung sambil menikmati pelbagai makanan istimewa Australia.



Welcome Dinner

Seminar  Corroborree ( 6-8 September 2016)


Program seminar Corroborree ini tidak ubah seperti Table Top yang pernah saya hadiri di Kuala Lumpur. Tapi perbezaannya - ia dibuat di Perth Convention Centre. Saya amat kagum mengenai pengurusan program ini. Terlalu bersahaja dan teratur ! Terbaik! Pujian saya boleh berikan kepada pihak penganjur. Seramai lebih kurang 200 wakil penjual yang terdiri daripada hotel, resort, Taman Tema, Zoo, dan pelbagai lagi menerangkan kepada kami mengenai produk mereka.



Kami dibahagi kepada 5 kumpulan dimana 1 kumpulan hanya 3 orang. Ia berjalan selama 3 hari, dan ada masa memenatkan. Bayangkan satu Australia - maksud saya, kami diberi pendedahan mengenai produk kesemua negeri dalam Australia termasuklah Canberra.

Sebelah malam- makan malam kami sangat istimewa.  Satu malam di tepi laut Fremantle - saya suka konsep "Beach Party!" dan satu malam - fine dining di Restoran Perancis, Crown Hotel. Selebihnya makan malam perpisahan di Kings Park. Pujian sekali lagi kepada penganjur! Konsep makan malam yang ringkas, bersahaja dan meriah! Oh ya, bagaimana dengan saya (sebagai muslim) - tidak jadi masalah kerana kebanyakan makanan memang saya boleh makan - Tiram, ikan, sotong, udang.



Pesta Pantai di Fremantle

Nice Desert

Sekadar memandang..tak boleh makan..Harom!

Malam terakhir di Kings Park merupakan sesi terakhir sebelum kami semua di"campak" ke seluruh Australia bagi lawatan istimewa anjuran Tourism Australia. Pasukan Malaysia akan melawat South West - termasuklah Albany. Dengar khabar pasukan Indonesia ke Melbourne dan Singapura ke Cairns. Bertuah!

Lawatan Istimewa ( Western Australia) ( 9-13 September)

Albany





Tidak terlintas dalam fikiran saya, yang saya akan ke Albany - bandar kecil yang terletak lebih kurang 4 jam dari Perth. Pagi 9 September, kami menaiki pesawat ringan bergerak menuju ke Albany yang hanya memakan masa selama 1 jam 40 min penerbangan. Albany - merupakan bandar pertama diterokai sebelum Perth. Bandar ini hanya mempunyai populasi seramai 35,000 orang sahaja. Program lawatan Albany kami dibantu oleh Charli Heinz - Koordinator pemasaran.

Menarik di Albany - banyak sebenarnya! Ia kecil tapi menarik, tak mustahil akan menjadi pilihan rakyat Malaysia untuk melancong ke sana. Kami melawat Muzium Albany ( tidak begitu menari! Maaf), Albany Waterfront, Albany Heritage Park dan Mount Adelaide - menikmati pemandangan laut yang cukup mengasyikkan.

Selain itu, anda tidak harus lepaskan peluang melawat Natural Bridge & The Gap - ia merupakan formasi batuan yang membentuk jambatan, dan The Gap- merupakan tebing laut yang cukup curam dan menyeramkan. Albany juga terkenal dengan penangkapan paus suatu ketika dahulu. Jadi kami juga turut melawat Stesen Whaling atau nama lain stesen penangkapan paus yang tak ubah seperti muzium. Ia merupakan pusat bagi memberikan informasi istimewa kepada pengunjung mengenai penangkapan paus.

Albany wind farm - terletak lebih kurang 30 minit dari pusat bandar Albany dan ia merupakan kawasan kincir angin kuasa yang terbesar di Australia. Ada lebih kurang 18 kincir angin beroperasi dan memberikan  tenaga kepada 80% penduduk Albany. Kuasa angin la katakan.

Denmark - Pemberton






Kembali ke alam semulajadi ...saya tidak pasti kena atau tidak dengan jiwa saya, tapi saya boleh katakan hari kedua lawatan memang berkait rapat dengan tema alam. Giant Tree Top Walk - merupakan tarikan utama di sini. Giant Tree Top ini merupakan kawasan Taman Negara yang terletak di kawasan Nornalup, Australia. Ia tidak ubah seperti Taman Negara di Malaysia, yang mempunyai jambatan gantung setinggi 600m. Tidak rugi datang ke sini kerana anda dapat melihat panorama alam serta kawasan hutan yang cukup mendamaikan.


Kami juga turut menikmati makan tengahari dalam cruise di Walpole, sambil menikmati kesan alam semulajadi di pantai Bellanger / Nornalut Inlet. Perjalanan diteruskan ke Ladang Lavender yang terletak tidak jauh dari Pekan Pemberton. Kami dijamu dengan minuman ringan dan Scone - makanan yang cukup popular di sini. Bermalam di Karri Valley merupakan pengalaman yang cukup menyeronokkan. Resort bertaraf 4 bintang ini terletak di Tasik Beedelup, merupakan resort yang terkenal dalam kalangan warga Australia . Menariknya resort ini tidak mempunyai wifi dan talian telefon. Jadi, anda memang benar-benar kembali kepada alam semulajadi.

Aktiviti memancing dan bermain mini golf tidak wajar dilepaskan. Saya bermain golf bersama Michael dan Kok Wei - berangan menjadi Dato Yang Berhormat! Terima saudara Mike yang mengajar saya serba sedikit mengenai peraturan golf. Turut mencuba nasib di kolam ikan, malangnya seekor ikan pun tidak dapat. Tidak mengapa, janji makan malam masih lagi istimewa.


Pemberton Discovery
Hari seterusnya penuh dengan cabaran. Melalui segenap hutan belantara, yang cukup menakjubkan..kami merasai satu pengalaman berbeza - menerokai Pemberton.

Bagi mereka yang berminat beting pasir ( sand dune) maka disinilah tempatnya. Kami menaiki 4wD untuk merasai satu pengalaman yang cukup menakjubkan. Nasib baik cuaca sangatlah baik, walaupun agak sejuk.

Masih belum mempunyai sebarang talian telefon, jadi telefon hanya digunakan sebagai kamera sahaja. Perjalanan ke Beting Pasir memakan masa sekitar 30 minit, tetapi kami turut mengambil kesempatan untuk membuat jungle walk - berjalan sambil mengenali pokok-pokok yang hanya ada di Australia sahaja.

Beting pasir - merupakan tarikan utama jika ke Pemberton. Apa yang menarik? Anda boleh melihat satu fenomena alam menakjubkan. Di sini juga, anda akan dapat melihat Lautan Hindi yang mana ombaknya sangatlah mengganas. Tarikan ini satu bonus yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.

Selepas sahaja selesai program Pemberton, kami bertolak ke Margaret River ( dalam 2 jam perjalanan). Dimana Margaret River merupakan Lembah Wain bagi Perth. Bagi bukan muslim - ini adalah tempat dan peluang bagi anda menikmati Wain ( jangan risau saya tak rasa )

Kami bermalam di Margaret River Beach Resort, yang konsepnya resort apartment. Hotelnya cukup terbaik...!

Margaret River - Luxury Walk

Jadual yang agak padat memang memenatkan. Tapi ia bukan alasan bagi menikmati keindahan Margaret River. Walaupun namanya Margaret River, bandarnya memang kecil ( sama seperti bandar kecil lain di Australia). Lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah hotel, Margaret River akan sesak semasa musim panas.

Pagi ini - pagi Hari Raya Haji, sempat sebentar saya berselfie, dan buat sedikit salam perantauan untuk orang Malaysia :). Pagi ini aktiviti sedikit mencabar, kerana kami semua akan melakukan Cape To Cape Walk. Nampak menarik? Ia memang menarik. Berbeza di Malaysia, kalau anda peminat Bush walk, maka ini adalah masanya. Anda juga dapat melihat lautan Hindi yang cukup menarik. Cape to Cape walk ini dibantu oleh tour guide yang sememangnya arif mengenai laluan yang sesuai dan selamat. Sepanjang walk ini, anda berpeluang melihat pelbagai jenis bunga , kebetulan Perth sudah masuk musim bunga.

Kawasan Cape to Cape Walk ini tidak jauh dari Margaret River, sekitar 30 minit perjalanan. Ia terletak di kawasan bernama Injidup Beach - satu panorama yang cukup mengasyikkan!

Selepas penat lelah melakukan aktiviti memanaskan badan, kami bergerak ke Busselton - sekitar 1 jam 30 minit dari Injidup. Busselton - pekan kecil ini sebenarnya terkenal sebagai bandar pesisir pantai, dan ia merupakan lokasi utama bagi mereka yang ingin melihat ikan paus.

Petang itu, kami menaiki cruise menyaksikan Paus..malangnya...Paus tidak ada ::)

Kami bermalam di Abbey Beach Resort - dan saya rasakan ini antara resort terbaik dan servisnya cukup memuaskan!

Mandurah - Fremantle
Semakin menghampiri kembali Perth, suhu sudah semakin panas. Tetapi masih memerlukan jaket disebakan ia belum mencecah 20C. Pagi ini, aktiviti menarik iaitu ke Busselton Jetty - merupakan jeti terpanjang di Hemisfera Selatan. Jeti sepanjang 2km, dan dipenghungnya terdapat Busselton Underwater Discovery, merupakan ruang (seakan Akuarium) yang mana anda berpeluang melihat ke dasar laut dengan lebih jelas.

Menariknya, ia bukanlah akuarium, dan hidupan disini adalah liar (tidak dikawal atau dijaga). Untuk ke sini, anda boleh menaiki train khas yang bermula dari penghujung pantai - tak mungkin nak berjalan,..penat!

Apa lagi masa bergambar!


Petang itu, kami bertolak ke Mandurah, yang terletak lebih kurang 1 jam dari Busselton. Mandurah memang terkenal dengan Dolphin, dan ia tidak susah kalau nak pergi jika dari Perth. Anda boleh gunakan sahaja train dari Perth Station dan ia hanya memakan masa sekitar 1 jam perjalanan. Kami dihidangkan sekali lagi dengan Dolphin yang cukup jinak bermain air - tapi, disebabkan dah melihat Dolphin ketika Whale Watch, jadi rasanya tidak begitu mengujakan.

Selepas menikmati Fish N Chip di dalam cruise, kami bergerak ke Fremantle yang terletak lebih kurang 1 jam perjalanan. Di Fremantle, rasanya sama sahaja perjalanan seperti ketika saya berada di Perth - bandar sejarah yang cukup unik!

Jangan lupa menikmati makanan enak di Fremantle dan cuba kopi di sekitar Cappucino Strip


***
Perjalanan berakhir di Fremantle, dan esoknya kami semua ke lapangan terbang bagi penerbangan pulang ke Kuala Lumpur. Terima kasih buat Tourism Australia di atas peluang keemasan ini. Buat rakan-rakan  bersama :

~ Michael
~ Edwin 
~ Jia Wei
~ Kok Wei
~ Alice Siew
~ Selina
~ Stella
~ Szeci
~ Soh Yun
~ Zeff Cheow
~Alicia
~Angeline
~Kim Ying
~Jake

Dan terima kasih jua buat Suzanne Lim dan Huey Chin. Kerjasama anda semua amat saya hargai. Semoga bertemu dalam lembaran akan datang. Ternyata pengalaman Corroboree bersama dengan lawatan istimewa membuka mata bahawa Western Australia bukan sekadar Perth sahaja,

rajaazrul










Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...