Travel

Travel

Mengira detik

Friday, February 24, 2012

Jalan -jalan : Ho Chi Minh

Salam sejahtera semua,

Entri kali ini agak lambat untuk dikemaskini. Al maklumlah..kekangan internet. Jadi, langkah terbaik ialah mencari masa dan ruang untuk menulis. Baiklah, penulisan kali ini berkisar dengan perjalanan aku ke sebuah negara yang sedang meningkat naik iaitu Vietnam. Untuk makluman, vietnam ini adalah sebuah negara yang baru sahaja membuka pintunya kepada umum. Jadi, tak hairanlah negara ini masih agak ketinggalan dari negara-negara asia tenggara yang lain.

Aku ke Vietnam dua kali sepanjang tempoh 3 bulan. Hebat kan?? Apa lagi kalau bukan tuntutan kerja :-). Vietnam terkenal dengan dua bandar iaitu Hanoi dan Ho Chi Minh. Harus diingatkan jarak Hanoi dan Ho Chi Minh lebih kurang 1000 KM. Satu di utara dan satu lagi di selatan. Jadi, kalau anda berpeluang melawat kedua-duanya sekali, memang bertuahlah.

Aku hanya berkesempatan ke Ho Chi Minh, pusat ekonomi bagi Vietnam. Ia terletak di selatan Vietnam dan perjalanan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur hanyalah 1 jam 55 minit sahaja. Cuaca dan suhu di Ho Chi Minh sama sahaja seperti di Malaysia, cuma aku rasakan ia lebih panas kerana ia terletak di kawasan delta dan tanah rendah. Ho Chi Minh turut digelar Saigon. Maknanya, Ho Chi Minh dan Saigon adalah dua bandar yang sama. Jadi, jangan pula keliru yer! Hihi.

Hari Pertama:
Tiba di Saigon dalam jam 10.00am. Waktu di Saigon beza sejam dengan waktu Malaysia. Waktunya lebih awal sejam. Jam 10.00am maknanya 11 pagi waktu Malaysia. Lapangan terbang Saigon tak ubah seperti lapangan terbang Penang. Ringkas tetapi menarik. Ia tidaklah terlalu besar, jadi kalau anda pertama kali tiba disini, agak mudah untuk ke ruangan imigresen dan bagasi. Oh ya, sekiranya anda ke Vietnam anda tidak memerlukan "kad ketibaan ". Jadi, mudahlah untuk anda, tak perlu bersusah payah mengisi borang lagi.

Suasana bandar Saigon memang berbeza dengan KL. Bandarnya terlalu sesak dengan manusia. Dianggarankan populasi Saigon dalam 20 juta orang. Dan ini merupakan bandaraya paling besar populasinya di Vietnam. Saigon juga merupakan pusat ekonomi dan pusat perdagangan bagi Vietnam. Jadi tak hairanlah, banyak bangunan baru dan moden tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

Sampai di Saigon, lokasi pertama ialah Gereja Notre Dome dan Pejabat Pos Saigon. Kenapa? Ini merupakan kawasan sejarah bagi Saigon. Bangunan gereja ini merupakan bangunan tinggalan Perancis, yang pernah menjajah Vietnam suatu ketika dahulu. Manakalah, pejabat pos saigon pula merupakan hasil rekaan Stephen Sauvestre, yang merupakan artikek kepada Menara Eifel di Paris, Perancis. Sekiranya anda berada di sini, seolah-olah anda berada di Perancis. Memang unik.

Selain gereja dan pejabat pos, ada banyak bangunan tinggalan perancis seperti bangunan City Hall, muzium, dan Opera House. Kesemua bangunan masih berfungsi dengan baik dan dijaga dengan rapi. Dan anda harus ke sini sekiranya anda pertama kali menjejakkan kaki ke Saigon. Selepas melawat kesemua bangunan, kini adalah masa untuk makan....

Makan di Saigon tidak menjadi masalah besar. Banyak makanan halal, dan rasanya juga boleh tahan. Restoran Malaysia pun banyak disini. Tidak hairanlah anda akan dapat berjumpa ramai pelancong dari Malaysia yang turut makan di beberapa restoran di Saigon. Salah satu restoran yang popular di Saigon ialah Halal Saigon. Ia terletak berhampiran dengan Hotel Sheraton dan masjid Saigon. Disini makanannya juga boleh tahan, dan ada wifi. Aku suka dengan restoran ini kerana ia bersih dan dijaga rapi. Pelayannya juga sangat profesional dan faham bahasa melayu.

Selepas makan, masa untuk check in hotel. Ada banyak hotel di Saigon. Nasihat aku, pilih hotel di District 1. Kerana ia terletak di tengah bandar dan mudah untuk anda membeli belah. Hotel yang aku duduk ialah Rex Hotel, berhampiran city hall. Ia merupakan hotel bertaraf 5 bintang dan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Vietnam.

Petang tersebut, selepas mandi dan berehat, kami bergerak ke muzium perang. Ia merupakan muzium yang popular di Saigon. Mungkin ramai yang tak berminat untuk ke muzium, tapi aku rasa ini antara tempat yang harus anda pergi. Kenapa? Disini terdapat pameran mengenai perang vietnam yang berlaku pada awal tahun 60 an. Muzium ini turut memuatkan gambar-gambar penderitaan masyarakat Vietnam, kereta kebal, penjara mini, dan juga pesawat. Bagi aku ia adalah lawatan berbaloi dan berilmu.

Selepas melawat muzium, kami bergerak ke restoran yang dinamakan VN Halal. Restoran ini terletak berhampiran Ben thanh Market - pusat bandaraya Ho Chi Minh. Jadi kalau anda datang ke pasar ini, jangan lupa untuk singgah makan di sini. Makanan disini boleh dikatakan agak OK, dan paling sedap ialah Kari Ikan dan sambal belacannya.

Hari kedua:

Hari kedua bermula dengan menjelajah keluar daripada Saigon. Kali ini kami semua ke tempat sejarah yang bernama Chu Chi Tunnel ( Terowong Chu Chi). Ini merupakan kawasan sejarah tinggalan komunis, terletak dalam 55km daripada bandaraya Saigon. Terowong ini dibina oleh komunis semasa perang Vietnam dan ternyata lawatan ke sini amat berbaloi.

Disini anda akan dapat saksikan cara hidup orang vietnam semasa berperang. Memang unik terutama mereka sanggup menggali lubang sedalam 10m dan hidup didalamnya selama bertahun-tahun. Di dalam terowong ini jugalah mereka memasak, belajar, dan menyimpan alat-alat senjata. Oh ya, jangan sangka terowong ini macam terowong smart! Terowong ini hanya boleh memuatkan saiz badan manusia dan tak ubah seperti lubang tikus.

Selain daripada terowong, anda juga dapat melihat bagaimana jerat-jerat yang dibuat oleh tentera komunis dalam menghadapi peperangan. Jerat-jeratnya dikitar semula daripada bahan-bahan terbuang termasuklah bekas peluru dan bom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat. Di sini anda juga berpeluang untuk menembak di padang sasar dengan menggunakan senapang patah serta membeli cenderamata yang dibuat khas dari peluru dan logam.

Selepas melawat kawasan sejarah, kami bergerak ke Saigon untuk menikmati makan tengahari. Sama juga menu seperti sebelum ini, lauk kari dan sambal belacan tidak terkecuali. Selepas makan tengahari, kami bergerak ke masjid untuk solat jamak. Selepas solat, perjalanan diteruskan dengan melawat Rumah Presiden atau nama lainnya Istana Presiden. Ini merupakan rumah bekas presiden vietnam pertama dan sekarang ia dijadikan muzium.

Senibina rumah ini tak ubah seperti rumah zaman 60an. Dan rumah ini memang besar dan menempatkan beberapa bilik termasuklah bilik tetamu, mesyuarat dan sebagainya. Kebetulan kami pergi sudah lewat petang, jadi cuaca tidaklah begitu panas.

Selepas ke Istana, kami meneruskan program dengan aktiviti membeli belah. Oh ya, Saigon merupakan syurga membeli belah terutama bagi kaum wanita. Destinasi pertama ialah ke Bin Tay Market. Bin Tay ini terletak di Chinatown, jauh sedikit dari pusat bandar. Disini adalah tempat utama bagi mereka yang ingin mencari kain pasang, barangan dalam kuantiti banyak, alas meja dan barangan berasas fabrik. Harga disini memang murah, sutera vietnam dalam RM35 untuk 4 meter. Memang berkuaiti. Harga alas meja pula dalam RM20 - yang panjang tahu!

Selepas puas membeli belah, masa untuk makan!! Kali ini kami makan di Kedai Samsudin, merupakan restoran milik melayu Champa. Selepas makan, program seterusnya ialah ke Water Puppet Show - salah satu persembahan yang harus anda tonton ketika berada di Vietnam. Show ini diadakan pada waktu malam. Menggunakan alatan muzik tradisional Vietnam, mereka akan membuat persembahan di dalam air. Cuma yang kureng sikit ialah persembahan ini menggunakan bahasa vietnam. Namun, persembahannya masih boleh difahami kerana jalan ceritanya mudah. Ternyata ia satu persembahan cukup menghiburkan dan tak rugi untuk ditonton.

Hari ketiga:

Program hari ini diteruskan dengan mengembara ke selatan bandaraya Ho Chi Minh iaitu ke Mytho. Ia merupakan pekan kecil yang terletak dalam 70km ( anggaran 1jam setengah perjalanan). Sepanjang perjalanan anda akan dapat melihat suasana sawah padi terbentang luas, dan paling unik ditengah sawah padi ada kubur. Menurut Chin, kubur itu adalah kubur bagi tuan tanah atau ahli keluarga empunya tanah tersebut.

Tiba di Mytho - ia merupakan pekan yang terletak di delta Mekong. Untuk pengetahuan, sungai Mekong merupakan sungai terpanjang di Asia Tenggara. Bandar Mytho rasanya lagi tersusun berbanding Saigon mungkin disebabkan ia adalah pekan kecil.

Di jeti Mytho, kami menaiki bot besar menyeberangi sungai Mekong untuk ke Pulau Unicorn. Pulau ini terdapat perkampungan nelayan dan disini juga pelbagai aktiviti kebudayaan boleh dilakukan. Di sini terdapat persembahan kebudayaan, pertunjukkan lebah, dan gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis cenderamata. Di sini juga anda berpeluang merasa pelbagai buah-buahan tropika seperti jambu, ciku, buah nona dan sebagainya.

Selepas melawat kawasan ini, kami menaiki sampan kecil ( macam dalam filem melayu dulu-dulu) dan meneroka terusan kecil. Ini merupakan satu pengalaman yang cukup unik!! Paling menarik ialah sampan-sampan ini dikayuh oleh wanita yang layak digelar ibu. Jadi, faham-fahamlah bagaimana kuatnya wanita vietnam ini.

Sampan ini bergerak terus ke kuala sungai Mekong. Dari situ, kami menaiki bot yang lebih besar dan menikmati air kelapa segar di atas bot. Ternyata ini merupakan pengalaman yang sangat menarik dan harus dicuba sekiranya anda ke Vietnam.

Setelah penat menerokai Mekong, kami menikmati hidangan tengahari di sebuah restoran Makanan laut. Restoran ini menyediakan makanan Vietnam sahaja dan untuk makluman disini anda akan dapat merasa "telur Dinosour" dan ikan terbang!! Haha...menarik tahu!!

Pulang ke Saigon, kami singgah ke masjid untuk solat. Selepas itu, kami mengakhiri masa-masa dengan membeli belah di Ben Thanh market. Untuk makluman, ini merupakan tempat yang harus anda pergi ketika ke Saigon. Di sini terdapat pelbagai barangan termasuklah cenderamata, makanan kering, makanan basah, baju dan kain pasang. Kemahiran menawar amat diperlukan disini. Disini juga saya merembat beberapa helai baju dan 2 pasang seluar jeans dengan harga semua sekali tak sampai RM200 pun. Murah bukan?! Paling penting kena harus bijak menawar dan membuat perbandingan antara satu kedai dengan kedai yang lain.

Makan malam kami yang terakhir dibumi saigon ialah di Four Season. Disini juga kami meraikan hari jadi salah seorang peserta lawatan. Saya juga sempat memberikan cenderamata khas untuk team lawatan dan juga kepada birthday girl!!

Hari keempat:

Pagi-pagi selepas sarapan, terus ke lapangan terbang. Sempat lah melihat suasana lapangan terbang Saigon, tapi ia tidaklah sebesar Kuala Lumpur.

Ternyata Saigon atau Ho Chi Minh merupakan syurga membeli belah bagi rakyat Malaysia. Vietnam merupakan negara yang masih lagi kebelakang dari segi pembangunan, tapi banyak tempat menarik yang boleh diterokai. Ternyata mereka bangkit dari peperangan dan kini ekonomi mereka sangatlah berkembang pesat.

Ini merupakan tips ringkas andai kata anda semua mahu melawat Saigon / Ho Chi Minh:
1. Tukar duit USD dan Dong. Pastikan ada sedikit USD - ia membantu anda membeli belah disana.

2. Saya sarankan membeli barangan dalam Dong - mudah untuk dapat tukaran balik. Dan harga jauh lebih murah berbanding gunakan USD.

3. Teknik tawar-menawar amatlah penting.

4. Beli air mineral yang betul-betul selamat. Minum air banyak kerana Vietnam sangat panas berbanding Malaysia.

5. Pakai kasut ketika anda ke Mekong ataupun Chu Chi Tunnel.

6. Perkara harus anda beli - telekung, alas meja, kain pasang, baju, dan juga makanan kering! Murah!!

7. Anda harus cuba kopi vietnam dan buah rambutannya. Memang terbaik!!

8. Pilih hotel berhampiran dengan Ben Thanh kerana senang nak dapatkan teksi dan juga ke kedai makan.

9. Pilih teksi bernama "vinasun" - ia lebih murah dan berbaloi!!

10. Minta bellboy /staff hotel untuk maklumkan kepada pemandu teksi tentang lokasi tempat yang anda ingin pergi. Ini kerana kebanyakan pemandu teksi tidak memahami bahasa Inggeris.

Selamat melancong!! Cam eng!!

Ingin jelajah Ho Chi Minh? Dapatkan pakej pelancongan istimewa dengan email secara terus ke rentaka.travel@gmail.com. Insyallah 100% muslim tour.

Dihadapan city hall..antara bangunan unik di sini


Gereja Notre Dome - senibina Perancis


Kenangan di Chu Chi Tunnel

Aku bersama guide ku, Mr. Chin - alamak perutku!!


Rumah bekas Presiden - senibina 60an


Saiz durian di Vietnam..besar giler!

Sungai Mekong di waktu petang

Terusan yang mengalir terus ke Sungai Mekong

Di Muzium Perang - penjara ciptaan.

Telur Dino sour - menarik!!

Saturday, February 11, 2012

Nenda yang ku kenali....

Salam sejahtera,

9 Feb 2012 - nenda yang amat ku sayangi telah pergi buat selama-lamanya. Nenda menghembuskan nafas terakhir di kampung Temau, Raub, Pahang pada jam 6.30am sesudah subuh. Nenda yang bernama Ramah Binti Din ini dipanggil wan oleh cucu-cucunya.Beliau juga terkenal dengan sikap garang tetapi pada masa sama juga amat sayang kepada cucu-cucunya.

Pengalaman aku bersama Wan mungkin berbeza dengan cucu-cucu yang lain. Aku sempat tinggal di kampung dan dijaga oleh wan. Masih segar lagi pengalaman pahit manis dengan wan. Tidak juga aku nafikan diantara adik-beradik, aku antara yang rapat dengan Wan.

Semasa aku berusia 4 tahun, aku sudah tinggal di kampung. Aku sama seperti kanak-kanak lelaki yang lain, nakal dan fikiranku hanya ingin bermain sahaja. Satu peristiwa yang wan pernah cerita kepada ku ialah bagaiman aku dan adikku - raja azriq bermain di dalam tempat simpan koko wan. Oh ya, wan seorang petani. Dahulu kawasan sekeliling rumah wan ditanam pokok koko. Wan akan mengupas koko-koko tersebut dan diperam di dalam tempat khas sebelum dijemur. Dan tempat itulah menjadi taman permainan kami adik beradik.

Selain tempat koko, salah satu peristiwa yang masih terpahat ialah bagaiman wan membuat permainan "angkat kelapa" dibawah rumah. Konsep permainannya amat mudah, ikatkan kelapa tua dengan tali, dan digantung dibawah rumah. Hujung tali pula diselitkan dan kelapa akan dijadikan seolah-olah pemberat sebagaimana alatan senaman di gym. Permainan inilah yang menjadi rutin kami setiap pagi dan petang.

Setelah berpindah di Pahang, kami agak kerap pulang ke kampung terutama pada waktu cuti sekolah. Setiap kali cuti sekolah, pelbagai aktiviti dilakukan di kampung. Masih aku teringat, wan akan sentiasa mengajak aku menemaninya mencari lembu-lembu pada setiap petang. Wan akan memasang ubat nyamuk diisi dalam bekas khas sebelum ke paya-paya di belakang rumah. Selalunya aku akan menemannya di tepi jalan sahaja, selepas itu dia sendiri akan masuk ke dalam paya mencari lembu-lembu. Setelah berjumpa dengan lembu, barulah kami akan membawa lembu tersebut ke kandang.

Wan juga seorang yang pandai memujuk aku. Walaupun beliau dikenali sebagai seorang yang garang, beliau sebenarnya amat pandai memujuk aku terutama ketika aku merajuk. Pernah suatu petang aku menangis (masa ini aku tak ingat sebab apa) dan aku lari ke pondok di tengah kolam. Maka wan sendiri datang memujuk dan membawa aku pulang ke rumah. Bila dikenang kembali peristiwa ini, terasa diriku amat tidak matang sekali - maklumlah budak-budak.

Wan juga terkenal sebagai tukang masak terkenal. Dua menu yang aku rasa amat sukar orang lain tandingini iaitu lemang dan dodol. Aku pernah membantu wan membakar lemang sehari sebelum hari raya. Ternyata wan amat cerewet dalam memastikan lemang tersebut betul-betul masak sempurna. Malah bancuhan santan, batang buluh digunakan haruslah tepat dan berkualiti. Begitu juga dodol. Setiap kali hari raya, dodol wan menjadi kemestian untuk dihidangkan. Aku teringat yang wan pasti akan menyimpan kerak dodol kerana ia adalah bahagian kegemaran ku. Selain dodol dan lemang, wan juga amat pandai memasak gulai lemak cili api kulat dan pucuk ubi goreng pedas. Nampak ringkas, tetapi apabila dimakan dengan nasi panas, ia adalah satu kombinasi yang hebat dan menarik!

Wan dikatakan seorang yang garang tetapi dia jugalah antara guru dalam hidupku. Wan pernah mengajar aku mengaji muqadam, membawa aku mengenal sayuran dan ulaman kampung dan macam-macam lagi. Mungkin suaranya kuat dan nyaring membuatkan semua orang menganggap dia seorang yang garang dan sukar difahami, tetapi ternyata ia bukan seperti itu. Wan juga sama seperti namanya, seorang yang amat ramah, dan mudah menerima tetamu dengan baik.

Semasa aku kecil, aku memang manja dengan wan. Pernah semasa cuti sekolah, wan berjanji untuk membawa aku dan adikku ke pekan sari di Dong, Raub. Wan sanggup menunggu bas hampir satu jam, memimpin kami adik beradik bagi memastikan janjinya itu dikota. Di pekan sari, perkara yang memang akan dibeli oleh wan ialah mainan Tora atau Ding Dang. Hihi. Wan juga akan membeli apam balik Dong, yang sememangnya terkenal jika berkunjung ke sana. Sampai sahaja di hilir temau, Tok akan datang menjemput kami bertiga dengan motorsikal lagendanya.

Apabila terkenang saat-saat manis bersama wan, sememangnya banyak. Seingat aku, aku pernah menangis ketakutan akibat bunyi kilat dan hujan lebat. Disitulah wan datang dan memujukku. Wan juga pernah membantu aku membuang lintah selepas aku mandi sungai. Wan juga pernah memandikan aku dengan sabut kelapa setelah kami bermain lumpur dan selut. Kenapa aku boleh ingat semua ini? Ini disebabkan rakaman video yang pernah dibuat oleh papa dahulu. Huhu..cuma sayangnya rakaman ini sudah luput semasa kami berpindah rumah 10 tahun yang lepas.

Kini semua yang hanya tinggal kenangan. Wan yang kita sayangi sudah pergi buat selama-lamanya. Apa-apapun, sebagai cucu, aku redha dengan pemergiannya. Cuma sedikit terkilan kerana aku tidak sempat menatap wajah wan buat kali terakhir kerana tatkala aku tiba di kampung, jenazah wan sudahpun dikebumikan. Semoga rohnya dicucuri rahmat.

Al fatihah.



rajaazrul - al fatihah buat arwah papa, tok raja adam, tok wan yusof, tok nek.