Travel

Travel

Mengira detik

Friday, December 28, 2012

Happy Birthday to me

Sebelum 2012 melabuhkan tirainya..

Adalah amat bermakna tarikh 28 Disember dalam hidupku.

Hari kelahiran aku dan juga adik kedua ku - Raja Azriq!!

Tarikh 28/12/12 , aku menaip...tiada apa2 istimewa berlaku, cuma sekadar bekerja, makan, main dengan kucing, makan malam dan tidur...

Aku sendiri tak tahu bagaimana ingin jadikan hari ini istimewa, tapi cukuplah sekadar aku menaip entri ini...untuk menyatakan, aku bersyukur...masih lagi bernyawa, sihat, diberikan tenaga, diberikan keluarga dan rakan yang memahami, berada di negara yang aman...


Apa -apapun tahniah untuk diri aku - Selamat Hari Jadi ke 28, Raja Azrul!

Sunday, December 16, 2012

Seribu tahun sekalipun

Orang lain mungkin boleh pelbagai andaian
Orang lain mungkin boleh pelbagai tafsiran

Hakikatnya, perasaan aku hanya Tuhan yang tahu
Aku yakin perasaan ini adalah anugerah tuhan yang tidak terhingga
Ia juga adalah satu bentuk ujian yang kuat dari penciptaNya

Perasaan..
Ia adalah suatu bentuk misteri yang sukar diungkapkan.

Di hari ini,
Aku masih mengingatinya
Walaupun aku tahu tidak mungkin aku mendapatkannya
Tidak sama sekali

Tapi percayalah
Seribu tahun sekalipun,
Aku tetap percaya perasaan ini tidak akan pudar
walau engkau tidak berada di sisi ku.

Berhenti berharap - tapi hakikatnya ia amat sukar untuk dilaksanakan.

rajaazrul
16 Dec 2012

Ulasan Filem : Life of Pi

Salam semua!

Apa khabar dan selamat tahun baru ! Eh belum tahun baru lagi..tapi saya yakin ramai sudah membuat perancangan untuk tahun depan. Semoga berjaya mencapai apa yang diidam.

Baiklah..dalam penulisan kali ini saya ingin membuat ulasan filem yang bertajuk" Life Of Pi'. Pada awalnya saya ingat ia cuma sekadar filem dokumentari. Tetapi ia adalah sebuah cerita yang diadaptasi dari sebuah novel yang turut menggunakan judul yang sama. Novel yang ditulis oleh Yann Martel, salah seorang penulis novel kelahiran Sepanyol.

Plot:

Filem ini berdurasi 2 jam 5 minit, menerapkan elemen drama dan aksi dalam garapannya. Filem ini diarahkan oleh Ang Lee, pengarah tersohor dari Taiwan."Life Of Pi" yang berlatarbelakangkan Pondicherry, India mengisahkan Piscine Molitor Patel (Suraj Sharma) atau lebih dikenali sebagai Pi. Anak lelaki kepada penjaga zoo ini banyak menghabiskan masa untuk menimba ilmu pengetahuan bukan sahaja daripada teks keagamaan, malah setiap jenis kesasteraan yang boleh memuaskan sifat ingin tahunya tentang dunia.



Walaubagaimanapun akibat perubahan politik di India menyebabkan keluarga Patel membuat keputusan untuk berpindah ke Kanada. Namun satu kejadian tidak disangka berlaku dan satu ketika, Pi mendapati dirinya berada di dalam bot penyelamat bersama kuda belang, orang utan dan juga harimau Royal Bengal seberat 450 paun bernama Richard Parker.

Searakian itulah, perjalanan penuh ranjau Pi bermula. Bayangkan dia terpaksa hidup bersama dengan seekor Harimau yang kelaparan. Ini adalah kekuatan plot cerita ini. Bagi saya, adaptasinya memang kemas. Mudah difahami dan tidak meleret. Perjalanan cerita ini tidak perlahan ( maknanya anda tidak akan bosan di dalam wayang). 80% set filem ini adalah di atas laut. Manakala selebihnya dibuat di India dan Canada. Filem ini menggunakan teknik imbas kembali, juga menceritakan kisah hidup Pi semasa kanak-kanak dan ketika dia mula merasakan cinta pertamanya.

Lakonan:

Filem ini menggunakan pelakon dari India. Walau pun begitu ia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam filem ini. Sama seperti filem Slumdog Millionaire. Suraj Sharma sebagai Pi sangat menjadi. Bagaimana dia terpaksa melakonkan watak yang cukup mencabar, sebagai seorang yang terdampat di tengah lautan pasific dan terpaksa menahan lapar selama berminggu-minggu. Suraj juga berjaya melakonkan watak Pi dengan baik terutama ketika babak dia berkomunikasi dengan Harimau.

Watak lain turut menarik perhatian saya ialah Gita Patel lakonan Tabu. Gita merupakan ibu kepada Suraj. Mungkin karektornya tidak banyak tapi ia berkesan dalam membawakan watak seorang ibu yang sangat sayangkan anaknya. Kredit juga diberikan kepada watak Santosh Patel, Anandi dan Ravi Patel. Ringkasan, lakonan dalam filem ini tidak mengecewakan.

Teknikal;
Walaupun diadaptasi dari novel, Ang Lee juga membawa magis kepada filem ini. Dengan menggunakan kesan khas yang cukup mengagumkan, Lee cuba membawa penonton mengembara bersama -sama dengan Pi. Di sini anda akan dapat melihat sendiri Lee bermain kesan khas semasa ribut petir, ikan paus, ikan terbang, meerat dan macam-macam lagi. Menggunakan teknik CGI yang cukup berkesan, pujian melambung harus diberikan kepada Lee. Saya rasa seolah menonton filem Avatar, bezanya ia mengambil set di lautan Pasifik, lautan terbesar di dunia. 

Teknikal juga amat berkesan dalam menjelmakan watak harimau dan binatang lain semasa kapal dinaiki oleh Pi karam. Memang nampak sangat semulajadi, kerana logik akal tidak mungkin Lee akan menggunakan seekor Harimau benar untuk berlakon dengan Suraj di atas bot dan ditengah lautan pasifik. 

Kesimpulan:
Saya rangkumkan filem ini wajib ditonton. Ia mudah difahami, dan filem ini mempunyai mesej yan tersirat terutama berkait rapat dengan perjalanan hidup kita sebagai manusia. Dengan efek dan lakonan berkesan, saya rasakan filem ini mungkin akan tercalon dalam Academy Awards pada tahun hadapan. Dengan semangat filem Asia ( pengarah dan pelakon dari Asia), saya sangat sarankan kepada anda semua untuk menonton filem ini. 

Selamat menonton!
rajaazrul







Thursday, December 13, 2012

13 Disember 2012

Tarikh ini mungkin tidak penting bagi sesetengah orang.

Hari ini cuma hari Khamis...tidak ada apa-apa. Tiada program istimewa atau hari keramat bagi mana-mana kaum di Malaysia.

Cuma inilah hari yang saya tunggu sejak bulan lalu. Mungkin ini adalah masanya untuk saya beralih arah!

Apapun terjadi..berjalan lah tanpa henti!

13 Disember 2012 --> ini adalah masanya!

rajaazrul

Tuesday, December 04, 2012

Jalan - Jalan : Membeli tiket kapal terbang

Salam Semua,

Kali ini saya ingin berkongsi pula mengenai tips melancong. Tentu ramai yang ketahui, melancong adalah aktiviti yang menyeronokkan. Apatah lagi anda melancong bersama dengan keluarga dan orang tersayang. Sebelum melancong, perkara asas ialah membeli tiket kapal terbang khasnya untuk destinasi yang jauh dari rumah anda.

Tapi bagaimana cara nak beli tiket kapal terbang? Apa yang anda perlu tahu? Jadi saya inginkan kongsikan disini. Maklumlah..orang kata.. "sharing is caring " Hehehe...

Ada beberapa cara jika anda boleh lakukan sekiranya anda ingin membeli tiket kapal terbang iaitu:

1. Agensi pelancongan:

Ini adalah cara paling mudah. Tidak perlu pening kepala. Tapi sebelum anda membeli, pastikan agensi tersebut berdaftar di bawah MATTA dahulu. Jangan main bedal sahaja. Biasanya agensi pelancongan akan mengambil dalam 5% dari harga tiket untuk servis caj. Harga agen sedikit mahal, tapi kelebihannya semua tiket anda akan dipantau oleh agen bertugas. Ia amat membantu sekiranya anda ingin menukar tarikh, membatalkan tiket, memilih tempat duduk dan sebagainya. Selain itu, anda juga boleh memilih pelbagai jenis penerbangan ( tidak terhad kepada satu penerbangan sahaja), ini kerana agensi pelancongan mempunyai sistem tiket khas tersendiri untuk memilih jenis penerbangan ditawarkan.

2. Pejabat penerbangan:

Ini salah satu cara terbaik selain agen. Anda boleh membeli terus di kaunter tiket, lazimnya terletak di lapangan terbang atau KL sentral. Namun pilihan amat sikit, kerana tidak semua penerbangan mempunyai kaunter. Tapi dengan membeli di kaunter, anda akan dapat harga lebih murah berbanding dengan agensi pelancongan.

3. Belian On Line ( dalam talian)

Kaedah ini amat popular pada masa kini. Ia lebih menjimatkan kerana semua perkara anda lakukan sendiri. Kebanyakan penerbangan pada masa kini sudah mempunyai sistem belian online. Paling terkenal ialah Air Asia, Jet Star dan Malaysia Airlines. Anda juga berpeluang untuk mendapatkan harga jauh lebih rendah, dan bebas untuk memilih tarikh yang sesuai dengan cuti anda.

Namun belian online anda terpaksa memasukkan maklumat dan data dengan sendiri. Selain itu, sebarang perkara tambahan seperti pertukaran masa penerbangan, pilihan tempat duduk dan sebagainya harus dilakukan sendiri. Ia tidak lah sukar mana, cuma andai tersilap beli, ia mungkin akan merugikan anda nanti.

Perkara perlu tahu sebelum membeli tiket:
1. Salinan passport / IC : Lazimnya agensi akan meminta salinan passport. Andai kata anda belum membuat passport, jangan risau, anda boleh gunakan kad pengenalan terlebih dahulu. Pastikan ejaan nama anda betul dan salinan tersebut jelas.

2. Kad kredit - ia boleh digunakan ketika membeli tiket online. Ada juga transaksi yang menggunakan debit kad atau Maybank2u.

3. Tarikh penerbangan - harga promo biasanya dijual pada "low season" seperti bukan cuti sekolah atau cuti umum. Pastikan anda merancang tarikh penerbangan yang sesuai. Pilih juga tarikh alternatif andai kata tarikh yang ada pilih sudah penuh.


4. Bilangan ahli - Harga tiket berbeza beza mengikut bilangan ahli dalam sesuatu kumpulan. Jadi semak perkara ini dengan agen bertugas.

5. Penerbangan alternatif - jangan terikat dengan satu penerbangan sahaja. Ada banyak syarikat penerbangan di dunia ini. Mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk memilih penerbangan lain sebagai alternatif.

6. Permintaan khas - maklumkan kepada agen andai kata anda memerlukan kerusi roda, bassinet ( tempat baby) atau stroller. Sekirannya anda menaiki pesawat bukan Muslim, sila tempah makanan Halal lebih awal selewat -lewatnya 48 jam sebelum tarikh penerbangan.

Semoga informasi diatas berguna untuk anda semua. Andai ada sebarang pertanyaan, sila nyatakan komen anda dibawah. Selamat melancong!!