Ulasan Filem : Untuk Tiga Hari

Salam pembaca,


Dah masuk bulan 9 rupanya. Tak sempat nak menaip apa-apa dalam bulan ini, maka kesempatan ini saya ingin menulis ulasan ringkas mengenai satu filem yang baru sahaja ditayangkan pada 20 Sep lepas berjudul "Untuk Tiga Hari"

Pengenalan:

Siapa tak kenal Ahadiat Akasha? Penulis novel remaja yang popular pada sekitar 80 an dan 90 an. Maka filem ini merupakan salah satu filem yang mengangkat novel beliau ke layar perak. Filem ini diarahkan oleh Afdlin Shauqi, pengarah tersohor tanah air. Sudah pasti ada sedikit suntikan kelaianan dalam adaptasi filem ini. Diterbitkan oleh penerbit Lagenda Budak Setan dan Ombak Rindu, jujur ini antara naskah adaptasi yang kemas dan menarik untuk ditonton.

Plot:

Cerita ini mengisahkan mengenai pasangan kekasih, Ujie (Vanida Imran ) dan Afin ( Rashidi Ishak) yang berjanji hanya berkahwin dengan pasangan pilihan ibu bapa mereka hanya untuk tiga hari. Namun ia bukan semudah disangka kerana perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh dibuat main-main. Plot filem ini dimulakan dengan babak kursus perkahwinan yang menjadi nadi kepada cerita ini.

Adegan flash back (imbas kembali) banyak dibuat dalam filem ini. Ia adalah sebagai pelengkap kepada tanda tanya penonton pada babak awal filem ini. Oleh sebab ia diarahkan oleh Afdlin, tidak hairan jugalah diselitkan beberapa babak komedi yang segar dan mencuit hati. Ada juga babak-babak "panas" ditunjukkan namun dibuat dengan cara komedi ringkas.

Plot ada masanya sedikit mendatar, terutama dipertengahan cerita iaitu pada masa imbas kembali. Ada juga perkara remeh yang kurang dititik berat seperti plot masa, contohnya dari pakaian zaman 90an (waktu imbas kembali).

Lakonan:

Lakonan Hebat! Ini yang boleh saya katakan untuk filem ini. Seperti biasa, Afdlin akan menggunakan geng-geng kegemarannya untuk menjayakan filem ini seperti Vanida Imran, Rashidi Ishak, Zaibo dan Ogy Ahmad Daud. Kemunculan Ayu Raudah juga tidak menghampakan. Dia nampak begitu anggun sekali dan berjaya mencipta karektor Juwita dengan baik sekali.

Pada masa imbas kembali, Dira Abu Zahar turut muncul sebagai Balkis, dan menjaya menampakkan karektor muda,dan pintar. Dia berjaya menjiwai watak dengan baik, sebagai seorang pelajar yang miskin dan cerdik. Begitu juga dengan lakonan Zizan , Ainul Aisyah dan Alex Raja Lawak. Walaupun muncul seketika, tapi berjaya dengan karektor masing-masing.

Saya paling suka watak Ogy dalam filem ini. Sangat menarik! Saya rasa Afdlin mengambil langkah selamat, dengan menggunakan pelakon yang hebat, supaya mereka dapat melakonkan watak dengan bersahaja. Kredit juga harus diberi kepada Khatijah Tan dan Maimon Mutalib.

Teknikal:

Mungkin filem ini bukanlah seperti filem Ombak Rindu dan Lagenda Budak Setan...penuh dengan adegan romantik dan jiwang. Filem ini hanya menggunakan kesan teknikal ringkas, dan berjaya mengaitkan antara satu plot dengan plot lain dengan baik. Saya tertarik dengan adegan SMS pada awal permulaan, dan juga babak Ustaz ketika menceritakan secara ringkas tentang kehidupan berumah tangga.

Tidak ada lagu mendayu-dayu, atau sinematografi alam seperti tasik, hutan atau laut. Cukup sekadar ayat-ayat dan komedi ringkas bagi menyampaikan maksud dalam filem ini.

Kesimpulan
Secara kasar, filem ini merupakan adaptasi terbaik bagi Afdlin. Percubaan pertama membuat naskah adaptasi harus dipuji. Ia dihasilkan dengan mudah, ringkas dan kemas. Tidak ada cerita meleret-leret atau adegan bermain emosi. Cuma dialog dituturkan itu membuatkan kita berfikir, pada akhirnya kita harus percaya kepada jodoh dan terima pasangan itu seadanya. Cewah!

Jadi kepada anda semua, jangan lupa saksikan filem komedi romantik di pawagam sekarang, percayalah..sentuhan Afdlin kali ini sedikit berbeza! Selamat menonton

4 bintang



Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...