Ulasan Filem : Nur Kasih the movie


Salam semua,

Lama dah tak review filem. Jadi, rasanya hari ini jadi rajin lah pula nak review filem Nur Kasih. Oh ye, saya baru sahaja menonton filem ini di pawagam semalam. Sebelum saya review filem ini, saya nak maklumkan saya bukanlah fanatik kepada Nur Kasih tapi mungkin saya dah tonton drama ini, jadi rasa teruja pula nak tengok kesudahan filem berdurasi 1 jam 30 minit ini.

Sebelum anda menonton filem ini, harusnya anda menonton terlebih dahulu drama Nur Kasih. Ini kerana ada beberapa jalan cerita di dalam drama dikaitkan dengan filem ini. Dan, kalau anda tak suka tonton drama Nur Kasih, lebih baik anda jangan tonton. Nanti rugi masa dan duit. Filem ini jujur saya katakan antara filem melayu terbaik tahun ini selepas sahaja filem Merong Mahawangsa bulan Mac lalu.

Jadi, kemunculan filem Nur Kasih memberikan dimensi baru dalam perfileman melayu. Apatah lagi ia diarahkan oleh Khabir Batia, antara pengarah yang cukup berbakat dan skripnya di tulis oleh Mira Mustapha. Filem ini dilakonkan oleh Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Tiz Zaqyah. Saya berikan kredit kepada ketiga-tiga pelakon ini kerana masih mengekalkan momentum lakonan yang sama seperti dalam drama Nur Kasih.

Bezanya dalam filem ini, beberapa pelakon asal tidak ada iaitu Ummi Nazeera dan Sheila Mambo. Mungkin nak difokuskan kepada watak utama sahaja. Dan ada juga pelakon-pelakon baru ditambah supaya filem ini dapat dikaitkan antara satu plot ke satu plot dengan baik.

Khabir Batia memang terkenal dengan sinematografinya. Tidak hairanlah beberapa babak seperti di Jordan, sawah padi, dan masjid cukup memberikan kesan kepada penonton. Ini ditambah pula beberapa babak yang dikaitkan dengan kekuatan cinta Adam terhadap Nur. Jalinan antara babak ke babak saya boleh kategorikan cukup baik dan kemas.

Dari segi jalan cerita, saya taknak lah komen. Nanti tercerita pula pada yang belum menonton. Cukup lah saya katakan penghujungnya ada beberapa adegan yang terduga. Nasihat saya, tonton dengan fokus dan fahami betul-betul setiap ayat yang ditutur oleh pelakonnya. Dari situ, barulah anda faham akan keseluruhan filem ini. Selain kekuatan jalan cerita, lagu-lagu dalam filem ini juga menarik perhatian saya. Paling saya suka ialah lagu nyanyian Bob AF, tapi tak perasan pula judul lagunya. Tapi lagunya memang mendayu dan menusuk kalbu. Selain itu, lagu tema nyanyian Yasin juga sememangnya harus ada dalam filem ini. Pendek kata, susunan muzik memang bersesuaian dengan tema cinta yang selalu diangkat di dalam filem ini.

Cuma, filem ini masih ada beberapa kelemahan. Sayang sekali kelemahan ini boleh mencalarkan perasaan ketika menonton filem ini. Pertama, dari segi teknik CGI. Terutama kesan pelanggaran kereta api, kemalangan dan terbakar. Tidak nampak realistik. Kedua, pergerakan filem ini pada awalnya agak perlahan. Jadi, ia sedikit merencatkan mood mereka yang menonton. Ada babak-babak terlalu perlahan dan membuatkan saya beberapa kali menguap. Tapi kelemahan filem ini sedikit sebanyak terubat dengan lakonan dan skrip yang kuat dalam filem ini.

OKlah, saya malas nak ulas panjang-panjang. Buat peminat drama Nur Kasih, pergilah menonton di pawagam sekarang. Memang tak rugi pun. Kalau yang jenis hati sensitif, bawalah tisu banyak-banyak ye. Mungkin ada yang menangis nanti.

Ini nasihat saya kepada anda yang nak menonton:-
1. Ambil tempat duduk tengah, dan paling strategik. Baru anda akan dapat rasa keseronokan dan mood untuk menonton.

2. Fahamkan dulu drama Nur Kasih - ada beberapa jalan cerita dalam drama dikaitkan dengan filem ini.

3. Tonton dalam keadaan fokus - kalau anda penat, mengantuk atau letih, baik anda balik tidur. Ini kerana ada beberapa babak agak perlahan, dan anda akan rasa mengantuk. Anda juga harus mendengar setiap dialog dituturkan kerana dari situ anda akan faham .

4. Jangan buat perbandingan antara drama dan filem. Ini adalah perkara paling penting. Fahami bahawa filem hanya berdurasi 1 jam lebih, jadi hanya babak-babak penting sahaja diangkat dalam filem ini.

5. Filem ini bergenre drama. Bukan lah filem komedi ataupun seram. Jadi anda harus faham phasing dalam filem ini sama seperti anda menonton filem-filem berat dari Iran ataupun Perancis. Jadilah penonton yang bijak. Kalau anda seorang yang tidak suka kepada filem berat, jangan tonton kerana anda akan katakan ia filem paling bosan dalam sejarah.

Jadi, dikesempatan ini saya ucapkan selamat menonton kepada semua!!

" selagi abang masih hidup, abang akan sentiasa ada disisi Nur"

Terima kasih

4.5 bintang

Comments

Popular posts from this blog

PTPTN Blacklist..??

Jalan - jalan : New York & Washington DC ( Memohon Visa USA) - part 1

Si Merah...